Pelajar baharu Curtin Malaysia biasakan diri

MIRI, 4 MAC – Lebih 150 pelajar baharu yang mendaftar dalam program ijazah kejuruteraan, sains dan teknologi di Universiti Curtin Malaysia (Curtin Malaysia) menghadiri sesi orientasi fakulti yang dianjurkan oleh Fakulti Kejuruteraan dan Sains sebagai sebahagian daripada Program Orientasi Ijazah yang dijalankan oleh Jabatan Kehidupan Universiti untuk semua pelajar kemasukan ijazah terbaharu.

Pelajar yang hadir adalah dari Fakulti Kejuruteraan Kimia, Kejuruteraan Sivil dan Pembinaan, Kejuruteraan Elektrik dan Komputer, Kejuruteraan Alam Sekitar, Kejuruteraan Mekanikal, Kejuruteraan Petroleum, Pengurusan Pembinaan, Sistem Komputer dan Rangkaian, Perkomputeran, dan Geologi Gunaan.

Dalam ucapan aluan-aluan, Dekan Fakulti Kejuruteraan dan Sains, Profesor Vu Tuong Thuy memberikan pengenalan ringkas mengenai universiti, fakulti dan kelab akademik dan menambah kesedaran mengenai wabak virus COVID-19 serta langkah-langkah pencegahan yang sedang diamalkan di Curtin Malaysia.

Acara seterusnya adalah ucapan daripada Profesor Madya John Lau Sie Yon, Ketua Kejuruteraan Tahun Pertama dan Foundation dalam jabatan Kejuruteraan dan Sains, yang memper-kenalkan Program Kejuruteraan Tahun Pertama dan alat bantuan pembelajaran yang ditawarkan kepada pelajar seperti OASIS, Moodle dan Blackboard.

Menurut Profesor Madya Lau, tujuan utama sesi orientasi adalah untuk memperkenalkan kakitangan fakulti kepada pelajar baharu dan memberikan maklumat penting untuk membantu mereka menyesuaikan diri dengan persekitaran baharu dengan secepat mungkin.

“Ia penting kepada pelajar baharu kerana memasuki universiti boleh menjadi satu perubahan budaya yang besar untuk mereka. Kami cuba menjadikan sesi menyeronokkan dan dengan pemahaman jelas tentang dasar dan prosedur serta sumber dan sokongan yang disediakan untuk mereka, peralihan pelajar dalam persekitaran pembelajaran baharu akan menjadi lebih lancar,” kata beliau.

Selain itu, maklumat mengenai amalan kesihatan, keselamatan dan alam sekitar (HSE), Program PELA fakulti, dan operasi dalam setiap jabatan juga disampaikan kepada pelajar.

Sesi orientasi tersebut diadakan pada peringkat fakulti ketika Minggu Orientasi untuk membantu pelajar baharu berkenalan dengan kakitangan pengajar, kemudahan fakulti dan perkhidmatan, kaedah pengajaran, dasar dan prosedur, serta jangkaan fakulti untuk pelajar mereka. Ia dijalankan oleh kakitangan dari pelbagai jabatan dengan sokongan pegawai Jabatan Kehidupan Universiti, pemimpin orientasi pelajar dan sukarelawan pelajar.

Sebahagian pelajar baharu ketika melawat makmal diiringi pensyarah-pensyarah. – Gambar serahan Curtin Malaysia