Pelajar baharu jalani orientasi dalam talian

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 JULAI – Dengan normal baharu, Universiti Teknologi Brunei (UTB) mengalu-alukan para pelajar baharu dengan orientasi dalam talian, daripada proses pendaftaran kepada aktiviti-aktiviti minggu orientasi.

Lebih 400 orang pelajar baharu telah mendaftar bagi program-program sarjana muda dan sarjana di UTB, menurut kenyataan yang dikeluarkan UTB.

Kenyataan menjelaskan, pada tahun ini, program orientasi yang dianjurkan oleh Pejabat Hal Ehwal Pelajar dan Majlis Perwakilan Pelajar UTB (MPPUTB) diadakan dalam talian, bermula dengan pendaftaran pelajar baharu, pendaftaran bagi aktiviti-aktiviti yang ditetapkan yang mana kehadiran adalah diwajibkan.

Dalam mengalu-alukan pengambilan baharu, video-video yang dirakam lebih awal dan sumber-sumber lain termasuk ucapan naib canselor, mesej daripada penolong-penolong naib canselor serta lawatan kampus alam maya telah dimuat naik khusus bagi pelajar-pelajar baharu.

Dalam ucapannya, Naib Canselor UTB, Profesor Dr Hajah Zohrah binti Haji Sulaiman mengongsikan wawasan universiti iaitu untuk menjadi universiti global yang memberi impak kepada masyarakat, di mana beliau menekankan mengenai kepentingan menyumbang kepada masyarakat dan bagaimana universiti telah sentiasa responsif kepada keperluan masyarakat.

Beliau menambah, sebagai pelajar UTB, mereka akan mempunyai banyak peluang untuk memberi balik kepada masyarakat menerusi projek-projek akademik serta aktiviti-aktiviti luar kurikulum.

Dengan peluang-peluang ini, Profesor Dr Hajah Zohrah menggesa para pelajar untuk mengambil maklum akan peristiwa-peristiwa dalam dunia yang pantas berubah ini dan menjadi kompeten di peringkat global.

Menurut beliau lagi, perhubungan global kini disebabkan teknologi dan Internet memerlukan pelajar mempunyai pengetahuan dan kemahiran tertentu dalam abad ke-21 ini. Aktiviti-aktiviti orientasi lain yang menarik termasuk satu siri ceramah yang merangkumi motivasi, kaunseling, keagamaan, keusahawanan, bimbingan kerjaya dan Melayu Islam Beraja (MIB).

Selain itu, taklimat penjelasan menerusi video-video dan slaid pembentangan daripada pelbagai fakulti, sekolah dan jabatan serta kuiz-kuiz mengenai orientasi juga disediakan dan boleh diakses secara dalam talian untuk membeli lebih banyak maklumat dan membiasakan pelajar dengan universiti. Orientasi juga termasuk UTB 3KM Virtual Walk and Run dan program sukarelawan sebagai sebahagian daripada program orientasi yang telah bermula 6 Julai lalu hingga 25 Julai depan.

Profesor Dr Hajah Zohrah mengalu-alukan pelajar baharu UTB menerusi video yang dirakam lebih awal. – Gambar serahan UTB