Pelajar berkeperluan khas diberi perhatian

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 8 NOV – Kementerian Kesihatan menyediakan laluan khusus untuk remaja yang istimewa dan berkeperluan khas di pusat-pusat vaksinasi termasuklah di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, Berakas.

    Perkara tersebut disampaikan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar semasa Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

    Menyentuh mengenai pemberian vaksin bagi remaja yang menghidap autisme, Yang Berhormat Menteri Kesihatan menjelaskan bahawa autisme adalah gangguan spektrum yang mana kondisinya berlainan dari setiap penghidapnya.

    Oleh itu, ibu bapa remaja berkenaan hendaklah memberikan maklumat kepada guru-guru di sekolah yang berkenaan mengenai kesesuaian anak-anak mereka untuk menghadiri vaksinasi di tempat-tempat yang telah disediakan khusus bagi anak-anak berkeperluan khas.

    Walau bagaimanapun, jika anak berkenaan didapati tidak sesuai untuk menjalani vaksinasi di tempat yang telah disediakan disebabkan kondisi anak berkenaan mempunyai masalah yang lebih berat daripada yang lain, maka guru yang berkenaan akan memberi maklum kepada Kementerian Kesihatan yang akan mengaturkan untuk memberikan vaksinasi kepada
    mereka di rumah.

    Namun kemudahan perkhidmatan itu bukanlah untuk semua, ia hanya bagi mereka yang benar-benar memerlukan sahaja. Sehubungan itu, Yang Berhormat Menteri Kesihatan berharap agar para ibu bapa tidak akan menya-lahgunakan kemudahan yang diberikan tersebut.

    Pelajar dilihat menunggu giliran untuk menerima vaksin di pusat vaksinasi di Hospital Suri Seri Begawan, Daerah Belait, kelmarin. – Gambar oleh Daniel Lim