Pelajar BIBD ALAF lanjut pengajian di UK

Gambar serahan BIBD

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 SEPT – Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD), kelmarin, telah mengadakan majlis perpisahan bagi salah seorang pelajar BIBD ALAF yang akan melanjutkan pengajiannya di United Kingdom (UK) pada bulan ini.

Lai Fook Looeng, pelajar daripada kumpulan kedua program BIBD ALAF, akan melanjutkan pengajiannya dalam jurusan Sarjana Farmasi di University of Nottingham, UK selama lima tahun, menurut kenyataan yang dikeluarkan BIBD, hari ini.

Majlis turut menyaksikan penandatanganan surat tawaran biasiswa BIBD ALAF antara Lai dan BIBD yang diwakili oleh Ketua Pegawai Pemasaran BIBD, Hajah Nurul Akmar binti Haji Mohd Jaafar.

Turut hadir pada majlis itu ialah pihak berkepentingan program berkenaan seperti Jabatan Sekolah-Sekolah dan Jabatan Pengajian Islam serta pegawai-pegawai tinggi BIBD.

Lai dipetik sebagai berkata, “Saya sangat berterima kasih kepada BIBD ALAF kerana memberi saya peluang ini untuk melanjutkan pengajian di luar negara terutamanya di sebuah universiti yang terkemuka. Bukan semua orang mendapat peluang ini jadi saya berharap akan memprolehi kemahiran dan pengetahuan yang akan membantu membangunkan Brunei pada masa hadapan.

Sesi bergambar ramai pada majlis penandatanganan surat tawaran biasiswa BIBD ALAF tersebut.
Lai Fook Looeng semasa penandatanganan surat tawaran biasiswa BIBD ALAF bersama Hajah Nurul Akmar yang mewakili BIBD.

“Latar belakang bukanlah penting, jika anda benar-benar mahu belajar dan percaya anda boleh melakukannya, di sinilah program seperti ALAF dapat membantu. Di BIBD ALAF, mereka juga membantu membangunkan minda dan kemahiran anda dan memupuk anda menjadi seorang pelajar yang berkeyakinan dan fokus,” tambah pemuda berusia 20 tahun itu.

Sementara itu, Ketua Pegawai Pemasaran BIBD, Hajah Nurul Akmar binti Haji Mohd Jaafar pula dipetik menyatakan bahawa mereka sangat berbangga dengan pencapaian Lai dan mendoakan yang terbaik bagi pengajiannya.

“Alhamdulillah, BIBD telah diberikan peluang untuk menjadi sebahagian daripada perjalanannya untuk mencapai cita-citanya dan kami tidak sabar untuk melihat kejayaan lebih ramai pelajar daripada kumpulan program ALAF kini dan akan datang,” ujarnya.

Menurut BIBD, Lai adalah pelajar pertama daripada program berkenaan yang melanjutkan pengajiannya di UK, di mana sebelum ini, bank berkenaan telah menghantar pelajar-pelajar untuk melanjutkan pengajian mereka di Mesir.

Berikutan pandemik COVID-19, urusan perjalanannya dibuat di bawah panduan kerajaan Brunei bagi memastikan risiko dan pendedahan kepada virus berkenaan diminimumkan.