BANDAR SERI BEGAWAN, 6 FEB – Dalam memastikan kesihatan dan keselamatan rakyat Brunei, berikutan kebimbangan mengenai penularan koronavirus novel, seramai 73 orang pelajar berdaftar di Republik Rakyat China di bawah Majlis Biasiswa China, Biasiswa One Belt One Road dan Biasiswa Hengyi, telah selamat pulang ke tanah air dan dilaporkan sihat dan bebas daripada jangkitan.
Manakala itu, dua orang rakyat Brunei, seorang pelajar dan seorang pelancong, masih berada di Wuhan menunggu pemindahan ke Brunei, menurut kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini.
Kenyataan menjelaskan, kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam akan menghantar satu penerbangan ke Wuhan untuk membawa balik rakyat Brunei dan satu usaha sama antara Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri, Kementerian Kesihatan dan Syarikat Penerbangan Diraja Brunei (RB) sedang dilaksanakan untuk menghantar penerbangan berkenaan yang dikendalikan RB.
Penerbangan berkenaan akan merangkumi dua pegawai perubatan dari Kementerian Kesihatan dan empat kru RB.
Langkah-langkah was-pada juga akan diambil bagi memastikan kepulangan kedua-dua rakyat Brunei di Wuhan, pegawai perubatan dan kru penerbangan berkenaan dalam keadaan selamat. Penerbangan tersebut akan sedia berlepas esok, sementara menunggu pengesahan daripada kerajaan China.
Kedutaan Besar Brunei Darussalam di Beijing juga kerap berkomunikasi dengan kedua-dua rakyat Brunei berkenaan bagi memastikan kesejahteraan mereka.
Kenyataan menyatakan, Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri menerusi Kedutaan Besar Brunei Darussalam di Beijing telah bekerjasama rapat dengan kerajaan China dan pihak berkepentingan di Brunei dalam memastikan bahawa langkah-langkah berpatutan dilaksanakan.




























