Pelajar buta cemerlang SPM

IPOH, 14 Mac – Masalah cacat penglihatan sebelah kiri yang dialami sejak lahir tidak pernah dijadikan halangan buat Noor Asyikin Huda Mustafa untuk berjaya dalam pelajaran seperti insan sempurna yang lain.

Noor Asyikin Huda, 18, yang memperoleh 6A, 2B dan 1C dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2018 berkata dia sentiasa berazam belajar bersungguh-sungguh untuk mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan berkenaan walaupun tidak memperoleh kesemua A.

“Saya agak lambat hendak memahami sesuatu subjek, ada kalanya saya terpaksa menyusahkan rakan-rakan dengan bertanya kepada mereka semasa di kelas kerana saya tidak nampak semuanya yang dicatat oleh guru,” katanya ketika ditemui pemberita di pekarangan Jabatan Pendidikan Negeri Perak di sini hari ini.

Anak kedua daripada tiga beradik yang merupakan pelajar Sekolah Menengah Agama (SMA) Al Falah, Parit Buntar itu bercita-cita mahu menjadi peguam satu hari nanti.

Sementara itu, bagi pelajar lembam, Muhammad Izhan Haikal Zaman Huri keputusan 8A dan 1D yang diperoleh dalam SPM adalah hadiah paling berharga buat keluarga dan guru-guru yang tidak pernah putus asa memberi dorongan serta tunjuk ajar kepadanya selama ini.

“Semasa peperiksaan percubaan SPM, saya hanya memperoleh 3A sahaja, semasa saya ambil keputusan tadi memang tak sangka dapat 8A sebab saya ini memang lambat hendak memahami sesuatu subjek berbanding rakan-rakan lain.

“Saya tak pernah mengalah semasa belajar di dalam kelas, saya ikut cara rakan-rakan lain belajar walaupun kadangkala ia agak menyukarkan,” kata anak bongsu daripada lima beradik itu yang merupakan pelajar Sekolah Menengah Maahad Ehyak Al-Diniah Islamiah, Kampung Gajah, Pasir Salak.

Dia yang telah kehilangan ayahnya sejak dua tahun lepas akibat sakit jantung mahu melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi bagi mencapai cita-citanya menjadi seorang pensyarah.

Bagi pelajar Orang Asli, Dizureen Bellyana Hamlan yang memperoleh 8A dan 1B melahirkan rasa syukur kerana impiannya untuk memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan tersebut tercapai.

“Saya kehilangan ayah sejak kecil dan hanya ibu yang bekerja sebagai tukang cuci menyara kehidupan kami dua beranak selama ini dan amat menghargai jasa ibu yang banyak memberi sokongan selain guru-guru di sekolah,” kata pelajar Sekolah Menengah Sains Tapah yang bercita-cita mahu menjadi jurutera marin. – Bernama