Pelajar cemerlang dirai

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 NOV – Murid-murid cemerlang dan murid yang menamatkan pembelajaran pra Sekolah Rendah Rimba I, diraikan dalam Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang dan Tamat Pengajian Prasekolah 2019 yang berlangsung di dewan serba guna sekolah berkenaan, baru-baru ini.

Hadir selaku tetamu khas pada majlis berkenaan ialah Pemangku Ketua Kampung Rimba, Zon 4, Kpt Haji Julkepli bin Haji Ibrahim. Acara dimulakan dengan perarakan masuk para graduan prasekolah 2019 dan diteruskan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat oleh Pegawai Guru Ugama Sekolah Rendah Rimba I, Haji Mohd Azim bin Haji Junadi.

Majlis dimeriahkan lagi dengan persembahan keagamaan oleh pelajar-pelajar yang menerima anugerah pelajar cemerlang 2019. Selain penyampaian sijil kepada semua murid prasekolah, beberapa anugerah yang disampaikan pada majlis berkenaan ialah penyampaian 10 orang pelajar terbaik setiap peringkat, pelajar progresif, progresif SENA, kehadiran terbaik, pembaca buku terbanyak dan seterusnya penyampaian hadiah pelajar cemerlang setiap peringkat prasekolah hingga Tahun 5.

Salah seorang pelajar menerima sijil daripada tetamu kehormat pada majlis Anugerah Pelajar Cemerlang dan Tamat Pengajian Pra 2019. – Gambar oleh SR Rimba I