Pelajar cemerlang manfaatkan YouTube

KOTA KINABALU, 14 Mac— Ramai beranggapan aplikasi Internet seperti YouTube melalaikan, namun bagi pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2018 Sabah, Carolina Lee Pei Qian, saluran video dalam talian itu banyak membantunya dalam mengulang kaji pelajaran.

Pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St. Patrick, Tawau, itu memperoleh 10A+ dalam SPM tahun lepas sekali gus diumumkan sebagai antara 17 calon cemerlang dalam peperiksaan berkenaan di Sabah.

Carolina berkata, dia meng-ambil inisiatif menggunakan YouTube ketika mengulang kaji terutama bagi Matematik Tambahan, Kimia dan Fizik memandangkan terdapat banyak video pembelajaran interaktif yang mampu meningkatkan lagi kefahamannya mengenai mata pelajaran itu.

“YouTube adalah guru kedua saya. Jika ada yang saya tidak faham ketika membuat latihan terutama bagi mata pelajaran terbabit, saya akan menonton video pembelajaran dimuat naik di situ dan menyelesaikan soalan berdasarkan penerangan diberikan,” katanya ketika ditemui selepas menerima Anugerah Pelajar Cemerlang SPM 2018 Sabah, hari ini.

Anugerah itu disampaikan Pengarah Pendidikan Sabah, Mistirine Radin selepas mengumumkan keputusan SPM 2018 peringkat negeri, di sini.

Carolina yang bercita-cita ingin menjadi seorang ahli farmasi berkata, dia meluangkan masa sekurang-kurangnya tiga jam dalam sehari untuk mengulang kaji pelajaran termasuk membuat latih tubi soalan SPM tahun-tahun lepas kerana menyedari inisiatif itu perlu dilakukan untuk mempersiapkan dirinya sebelum menghadapi peperiksaan.

“Untuk cemerlang dalam SPM, seorang pelajar itu harus mempunyai motivasi dan keazaman tinggi kerana mereka perlu berusaha bersungguh-sungguh untuk memastikan sasaran keputusan tercapai,” katanya, yang ingin menyambung pelajaran di peringkat A Level dan berhasrat meneruskan pengajian ke Australia.

Seorang lagi pelajar cemerlang SPM 2018 Sabah, Mohd Danish Iskandar Amran berkata fokus pada sesi pengajaran dan pembelajaran di kelas adalah antara resipi kejayaannya kerana amalan itu juga telah membolehkannya mencapai keputusan 11A dalam Penilaian Tingkatan Tiga.

Pelajar dari SMK Agama Kota Kinabalu memperoleh 9A+ 2A dalam SPM 2018 itu berkata kelas persediaan setiap petang dan malam dilaksanakan di sekolah berasrama itu juga membantunya mendisiplinkan diri dalam pengurusan masa terutama bagi mengulang kaji pelajaran. – Bernama