Pelajar dan guru SM YSHHB berlepas ke Jepun

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 Julai – Seorang pelajar dan seorang guru pengiring dari Sekolah Menengah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (SM YSHHB), hari ini, berlepas ke Wakayama, Jepun bagi mengikuti Program Antarabangsa dalam Forum Pelajar-pelajar Sekolah Tinggi Asia dan Oseania.

Rombongan negara diwakili oleh Dayang Iffah Solehah binti Haji Aznan dan guru pengiring, Dayang Hana Suhana binti Johari yang akan berada di Jepun bermula esok hingga 3 Ogos ini.

Berada di Lapangan Terbang Antara-bangsa Brunei bagi mengucapkan selamat belayar kepada wakil negara berkenaan ialah Ketua Pegawai Eksekutif Sekolah YSHHB, Awang Noorhaizamdin bin Haji Mohd Mosbi, Pengetua SM YSHHB, Chong Li Chen dan Pegawai Pendidikan Kanan YSHHB, Awang Mohd Dani binti Haji Jailani.

Antara lain objektif forum adalah untuk memberi peluang kepada pelajar dari 20 buah negara untuk membincangkan empat kategori penyelidikan yang mana Brunei pada tahun ini membincangkan isu berkaitan persekitaran di Brunei.

Selain menghadiri forum, pelajar juga akan menyertai dalam program inap desa di mana pelajar akan tinggal bersama keluarga angkat di samping mengikuti lawatan pembelajaran ke tempat-tempat menarik di Wilayah Wakayama selain mengadakan lawatan ke sekolah tinggi di Wakayama.

Delegasi bergambar ramai bersama Awang Noorhaizamdin dan Chong Li Chen sebelum berlepas meninggalkan negara.
Delegasi bergambar ramai bersama Awang Noorhaizamdin dan Chong Li Chen sebelum berlepas meninggalkan negara.