Oleh Imelda Groves HA
BANDAR SERI BEGAWAN, 18 Okt – Seramai 24 pelajar Darjah 6 termasuk dua pelajar berkeperluan khas bagi tahun 2017, Sekolah Ugama (SU) Jerudong telah menerima Sijil Sekolah-sekolah Rendah Ugama (SSSRU), pada majlis penyampaian yang diadakan di dewan sekolah berkenaan hari ini.
Daripada jumlah itu, seramai 15 pelajar telah mendapat Pangkat 1, lima memperoleh Pangkat 2 dan empat lagi mendapat Pangkat 3.
Hadir selaku tetamu khas dan seterusnya menyampaikan sijil kepada para penerima ialah Ketua Unit Sekolah Ugama, Bahagian Kenaziran, Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Hajah Asinah binti Haji Tamin.
Beliau pada ucapannya melahirkan ucapan tahniah kepada guru-guru atas kegigihan dan kesungguhan mereka dalam mengajar, mendidik, membimbing, melatih dan mengasuh serta memberi motivasi kepada pelajar sehingga berjaya dan mencapai kelulusan yang diharapkan.
“Dengan adanya sijil SSSRU ini, semua pelajar telah diiktiraf berjaya menamatkan pembelajaran di sekolah agama selama tujuh tahun. Namun begitu, pengajian kamu dalam menuntut ilmu agama belum tamat lagi. Kerana belajar merupakan proses pembelajaran sepanjang hayat. Selagi kita hidup selagi itulah kita disuruh untuk menuntut ilmu, baik ilmu fardu ain mahupun ilmu fardu kifayah,” ujarnya.
Beliau menasihatkan kepada penerima sijil agar dapat menunjukkan akhlak mulia dan terpuji serta dapat membanggakan ibu bapa, guru-guru dan menjadi anak yang soleh dan solehah, yang dapat mendoakan ibu bapanya serta menjadi contoh kepada adik-beradik dan kawan-kawan.
Sementara itu, menurut Pemangku Guru Besar SU Jerudong, Brunei III, Dayang Mosalina binti Mohamad dalam ucapan alu-aluannya berkata kejayaan yang diperoleh semuanya adalah berkat doa restu para ibu bapa, penjaga dan guru-guru di samping usaha gigih para pelajar dan inisiatif guru mereka dengan mengadakan kelas tambahan, memberikan kata-kata semangat dan motivasi agar pelajar beroleh kekuatan untuk belajar secara bersungguh-sungguh.
“Semua usaha yang dilakukan adalah tidak lain hanyalah untuk memastikan para pelajar berjaya dan cemerlang dalam pembelajaran dan seterusnya menjadi anak dan individu yang berguna serta berkualiti tinggi kepada keluarga, negara dan agama, di samping sentiasa menjaga akhlak sebagai pelajar Muslim, agar ilmu yang diperoleh hendaklah diamalkan”, ujarnya lagi.
