Pelajar disaran rebut peluang tingkat kemahiran

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 JULAI – Pelajar-pelajar adalah sangat diharapkan untuk memahami dan menghayati nilai-nilai utama Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) iaitu Fatanah, Amanah, Sidiq dan Tabligh sebagai panduan dalam pembentukan jati diri dan sifat pelajar.

Perkara tersebut ditekankan oleh Ra’es KUPU SB, Dr Haji Adanan bin Haji Basar, ketika menyampaikan tazkiah syakhsiah MIB serta hala tuju KUPU SB semasa Program minggu Ta’aruf KUPU SB diadakan di Kem Latihan, PKBN Batu Apoi Daerah Temburong, dengan kerjasama Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.

Beliau turut menambah bahawa pelajar diharapkan untuk sentiasa terus merebut peluang dalam meningkatkan ilmu pengetahuan dan kemahiran melalui kursus-kursus dalam bidang yang dipilih serta program kokurikulum yang ditawarkan di KUPU SB nanti.

Selain dari itu, beliau turut menyarankan kepada pelajar untuk menjadikannya sebagai ‘senarai semak’ pelajar bagi memastikan di penghujung pengajian pelajar di KUPU SB nanti, yang mana pelajar akan keluar menjadi para pendidik yang berilmu, profesional,menguasai kurikulum dan pedagogi, berkepimpinan MIB, mempunyai pelbagai kemahiran dan mampu untuk menyumbang bakti kepada masyarakat dan negara.

Menurut kenyataan KUPU SB, hari ini, majlis diteruskan dengan para pelajar baharu membaca ikrar yang diketuai oleh pelajar program Diploma Tertinggi Perguruan Agama, Awang Muhammad Noor Syahmi bin Mazne.

Dr Haji Adanan semasa menyampaikan tazkiah syakhsiah MIB serta hala tuju KUPU SB.– Gambar serahan KUPU SB