BANDAR SERI BEGAWAN, 9 Ogos – Enam orang pelajar Program Pembantu Kejururawatan di bawah Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) Kampus Agroteknologi (ATC) kini sedang mengikuti program pertukaran di Singapura bermula 5 hingga 18 Ogos.
Dalam Program Penempatan Industri Luar Negara (OIAP) yang diperkenalkan oleh Institut Pendidikan Teknikal (ITE) Singapura bersama Jabatan Perkhidmatan Kejururawatan, Kementerian Kesihatan Brunei Darussalam pada 2010 itu, para pelajar yang diiringi seorang tenaga pengajar, Singgah Edong mengikuti kuliah-kuliah klinikal di ITE East College dalam kursus-kursus jururawat.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan IBTE di sini, hari ini, objektif utama program pertukaran berkenaan adalah untuk meningkatkan kolaborasi rapat antara kedua-dua institusi pendidikan dalam meningkatkan kesedaran mengenai perspektif-perspektif kesihatan.


Adalah diharapkan dengan adanya latihan seperti ini dapat mendedahkan dan meningkatkan kesedaran bagi para pelajar mengenai klinik Hospital Singapura, sistem penjagaan kesihatan Singapura dan kejururawatan mengikut piawaian negara, dan juga mengenal pasti perbezaan dalam amalan kejururawatan dan pendidikan di antara kedua negara-negara tuan rumah, Brunei dan Singapura, sambil membangunkan penghargaan terhadap budaya yang berbeza.
Kenyataan menambah, program pertukaran itu juga menawarkan peluang kepada pelajar-pelajar IBTE ATC untuk menjalani penempatan di Unit Perubatan dan Pembedahan di Hospital Singapura semasa minggu kedua.