Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 8 Ogos – Sekumpulan pelajar Jepun dari Wilayah Wakayama yang sedang berada di negara ini bagi Program Tahunan Inap desa yang bermula 5 hingga 11 Ogos, berpeluang menjalani kehidupan bersama keluarga angkat.
Rombongan belia yang diketuai oleh Mika Okamoto itu, baru-baru ini, juga telah mengadakan lawatan ke Pusat Biodiversiti Marin di Meragang bersama keluarga angkat mereka.
Selain berpeluang melihat lebih dekat lagi budaya dan menjalani kehidupan orang-orang Brunei, mereka juga mengadakan lawatan ke tempat-tempat menarik dan bersejarah di negara ini.

Salah seorang wakil rombongan, Ryoga Fujikawa memberitahu bahawa melalui lawatan berkenaan, mereka berpeluang mempelajari mengenai tiga spesies penyu yang terancam di negara ini di samping mengetahui bagaimana untuk menyelamatkannya daripada kepupusan.
Dalam lawatan itu, rombongan turut mendengarkan taklimat yang disampaikan oleh Awang Iran Sunarddy bin Haji Omar dari Bahagian Hidupan Liar di Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan.