Oleh Syahmi Hassan –
BANDAR SERI BEGAWAN, 3 OKT – Pelajar-pelajar kelas 2023 di Sekolah Antarabangsa Jerudong (JIS) telah mencatatkan keputusan sangat membanggakan dalam Diploma Baccalaureate Antarabangsa (IB).
Dengan purata markah 34.83, pelajar JIS mengatasi purata global 30.24, dengan 76 peratus pelajar JIS melebihi purata dunia, 41 peratus mencapai 36 mata ke atas dan 24 peratus mencapai 40 mata ke atas.
JIS dalam kenyataan yang dikeluarkan menyatakan, ini penting kerana untuk memasuki Universiti Russell Group yang berprestij di United Kingdom (UK), 36 mata biasanya merupakan markah minimum yang diperlukan.
Keputusan IB sekolah itu terus cemerlang, berdasarkan sejarah cemerlang penyediaan Diploma IB di JIS.
Pengetua JIS, Nicholas Sheehan berkata, “Walaupun pelajar berprestasi tinggi ini akan meninggalkan JIS dengan keputusan akademik yang cemerlang, mereka akan lebih diingati oleh rakan-rakan mereka kerana kesan ketara sebagai pemimpin muda di sekolah dan pengaruh mereka di sekeliling rakan-rakan pelajar.
“Mereka telah menunjukkan contoh yang sangat baik kepada ahli-ahli yang lebih muda dalam komuniti kami,” tambahnya.
