Pelajar JIS tanam 166 pokok

Oleh Yusrin Junaidi

Gambar oleh Muiz Matdani

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 Dis – Sebanyak 166 pokok yang disumbangkan oleh Jabatan Perhutanan di bawah Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) telah ditanam oleh pelajar-pelajar Tahun 7 Sekolah Antarabangsa Jerudong (JIS) di taman sekolah berkenaan, hari ini.

Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Wakeel berkenan berangkat menyertai majlis penanaman pokok berkenaan bersama 14 pelajar lain.

Hadir pada majlis berkenaan ialah Pengetua JIS, Barnaby Sandow, Ketua Sekolah Menengah JIS, Richard Bourbon, Pengarah Pengayaan, Justin Harris, dan Penolong Ketua Sekolah, Marinka Gnaden.

JIS dalam kenyataannya menjelaskan, di sekolah berkenaan, terdapat kumpulan proaktif yang terlibat dalam pelbagai aspek pendidikan alam sekitar di JIS dan masyarakat Brunei pada amnya.

Kumpulan berkenaan, EcoJIS bermatlamat untuk melindungi alam sekitar dan mengaspirasikan generasi muda bagi mewujudkan masa depan mapan yang sihat.

DULI Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Wakeel berkenan berangkat menyertai pelajar-pelajar Tahun 7 Sekolah Antarabangsa Jerudong (JIS) pada majlis penanaman pokok di Taman JIS. Aktiviti penanaman pokok sebanyak 166 batang sumbangan Jabatan Perhutanan di bawah Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan itu adalah sebagai sebahagian daripada komitmen sekolah untuk melindungi alam sekitar dan mengaspirasikan generasi muda bagi mewujudkan masa depan mapan yang sihat. – Gambar oleh JIS
DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Wakeel berkenan bergambar ramai bersama pelajar-pelajar yang terlibat dalam aktiviti penanaman pokok berkenaan.
DYTM Pengiran Muda ‘Abdul Wakeel berkenan menyertai pelajar-pelajar Tahun 7 menanam pokok yang disumbangkan oleh Jabatan Perhutanan.

Sebagai sebahagian daripada komitmen sekolah kepada pendidikan bagi pembangunan mampan, pasukan EcoJIS telah menubuhkan Pusat Penemuan Luar (ODC) yang memenangi anugerah di perkarangan sekolah tersebut.

Kenyataan menjelaskan, ODC merupakan kelas di luar bangunan, terletak di kawasan hutan tropika yang diuruskan oleh sekumpulan pelajar di bawah bimbingan guru berdedikasi.

ODC digunakan oleh beberapa buah kelas dan aktiviti ko-kurikulum secara tetap, yang membolehkan pelajar belajar lebih lanjut mengenai persekitaran semula jadi, mengetahui konsep dan kemahiran yang mereka pelajari daripada pelbagai subjek dan juga membolehkan pelajar mengamalkan kemahiran berpasukan dan kepimpinan mereka.

Dengan ‘Hidup yang Mampan’ sebagai tema ODC, sekolah berkenaan menggalakkan pelajar mempelajari proses pengkomposan dan pengambilan air hujan untuk meningkatkan lagi pertumbuhan herba dan sayur-sayuran pada masa akan datang.

Para pelajar EcoJIS juga ingin meningkatkan kesedaran tentang kepentingan memelihara ekosistem tempatan dan menjaga biodiversiti untuk masa depan generasi baharu.

Ini akan membantu pihak sekolah memacu isu kemapanan dan alam sekitar di seluruh komuniti sekolah.

Dengan sokongan para pensyarah dan semangat para guru dan pelajar, mereka berharap dapat disahkan sebagai Sekolah Eko dalam masa terdekat.