Friday, April 19, 2024
23.5 C
Brunei

    -

    Pelajar kawasan pedalaman nikmati capaian internet

    Oleh Daniel Lim

    BELAIT, 15 MAC – Kawasan paling terpencil di Belait, Sukang kini lebih terhubung dengan kemudahan Internet, peralatan ICT, dan bahan bacaan yang disediakan untuk pelajar asrama di Sekolah Rendah Dato Maharaja Setia Dian Sukang.

    Inisiatif ini dijalankan sebagai sebahagian daripada Program Pembangunan Eksekutif untuk Pegawai-pegawai Pengurusan Pertengahan (EDPMMO) ke-33 bagi kumpulan tujuh pegawai pengurusan pertengahan sektor awam yang dipanggil Mutiara Harapan. Mereka melancarkan projek Program Jalinan Masyarakat dalam satu majlis yang diadakan di sekolah tersebut, hari ini.

    Hadir sebagai tetamu kehormat, seterusnya merasmikan majlis tersebut ialah Setiausaha Tetap (Pendidikan Teras) dari Kementerian Pendidikan, Dr Shamsiah Zuraini Kanchanawati binti Haji Tajuddin.

    Turut hadir ialah Pemangku Pegawai Daerah Belait, Haji Amirol Hafidzin bin Haji Muhammad, para pegawai kanan dari Kementerian Pendidikan, serta guru dan pelajar Sekolah Rendah Dato Maharaja Setia Dian Sukang.

    Berucap semasa majlis, ketua pasukan Mutiara Harapan, Awang Ariffin Deng @ Abdullah menyatakan rasa terima kasih dan penghargaan pasukannya ke atas sumbangan yang diberikan oleh para penaja bagi menjayakan projek tersebut.

    Awang Ariffin Deng @ Abdullah semasa menyampaikan ucapan.
    Dr Shamsiah Zuraini Kanchanawati bersama tetamu-tetamu jemputan bergambar ramai semasa majlis berkenaan. – Gambar serahan Jabatan Perdana Menteri
    Antara kemudahan yang disediakan di sekolah berkenaan.

    Majlis kemudian menyaksikan penyampaian sijil penghargaan kepada syarikat-syarikat filantropi yang telah menyokong pelaksanaan projek melalui sumbangan peralatan ICT, televisyen, dan bahan bacaan untuk asrama sekolah.

    Tetamu kehormat juga berkesempatan menyaksikan program keagamaan yang diadakan dalam talian bagi pelajar, yang disampaikan oleh Pengiran Haji Reduan bin Pengiran Haji Badaruddin dari Pusat Dakwah Islamiah.

    Projek ini bertujuan untuk menyokong Pelan Induk Ekonomi Digital 2025, yang memberi tumpuan kepada penyediaan akses Internet untuk meningkatkan kualiti hidup rakyat Brunei melalui akses inklusif kepada perkhidmatan digital, dengan penyediaan akses Internet yang boleh dipercayai dan peralatan IT yang sesuai.

    Selain itu, ia juga bertujuan untuk meningkatkan pendidikan agama Islam melalui program keagamaan dalam talian yang diadakan secara bulanan, dengan kerjasama agensi berkaitan dan sekolah rendah untuk pelajar asrama termasuk ibu bapa mereka.

    Selaras dengan matlamat pembangunan mampan (SDG) keempat iaitu memastikan pendidikan berkualiti inklusif dan saksama dan menggalakkan peluang pembelajaran sepanjang hayat untuk semua, penyediaan sambungan Internet dan peralatan IT diharapkan dapat memberi peluang kepada pelajar asrama untuk memperoleh akses yang lebih baik kepada bahan bermanfaat melalui dalam talian, selain daripada pembelajaran formal di sekolah.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Polis Australia selesaikan misteri kokain hanyut

    SYDNEY, 18 APRIL - Polis Australia telah menahan seorang lelaki didakwa menjadi dalang di sebalik komplot penyeludupan dadah yang gagal, mengakibatkan batu-bata kokain misteri...