Pelajar Labuan dalami gaya hidup masyarakat Brunei

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 FEB – Dalam usaha mengeratkan hubungan kekeluargaan dan berkenal kenalan bersama ahli Komuniti Sukarelawan Mengkubau dan kumpulan Belia ‘Ribena’, rombongan seramai 13 orang dari Sekolah Menengah Agama MAIWP, Wilayah Persekutuan Labuan telah mengadakan lawatan ke negara ini, baru-baru ini.

Sepanjang berada di negara ini, rombongan berpeluang mengadakan lawatan ke beberapa tempat menarik.

Melalui lawatan tersebut, ia dapat memberi pendedahan kepada pelajar mengenai cara kehidupan masyarakat di negara ini yang berpegang teguh dan menjaga kedaulatan negara dan agama.

Selain itu, rombongan pelajar dari Labuan turut berpeluang mempelajari cara penyediaan doh roti canai.

Pengerusi Komuniti Sukarelawan Mengkubau, Dayang Maimunah binti Mahmud ketika ditemu bual menjelaskan, komuniti berkenaan juga akan mengadakan lawatan balas ke Labuan dalam program kebajikan ke Kampung Lubok Temiang, WP Labuan.

Jelasnya, kunjungan itu nanti akan diselajurkan dengan penyerahan sumbangan baju terpakai daripada penyumbang yang telah menghantar baju terpakai sejak November tahun lalu.

“Program ini adalah dengan kerjasama MPKKK Kampung Lubok Temiang, WP Labuan,” tambahnya.

Rombongan pelajar dari Sekolah Menengah Agama MAIWP bergambar ramai di hadapan Istana Nurul Iman.