Pelajar Labuan mula sekolah 3 Okt

LABUAN, 6 SEPT – Kementerian Pendidikan (KPM) bersetuju untuk membuka semula sekolah di Wilayah Persekutuan Labuan di sini, mulai 3 Oktober depan dengan fasa pertama melibatkan pelajar Tingkatan 5 dan 6.

Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin berkata keputusan untuk membuka semula sesi persekolahan di Labuan itu dibuat setelah menilai bahawa pulau bebas cukai ini adalah satu-satunya wilayah negeri dan Persekutuan yang memasuki Fasa 4 Pelan Pemulihan Nasional (PPN) dengan jangkitan COVID-19 yang dapat dikawal.

“Memandangkan Labuan telah memasuki Fasa 4 PPN, sekolah-sekolah dapat dibuka kembali pada 3 Oktober bagi Tingkatan 5 dan 6, dan pembukaan semula sekolah di pulau ini akan dilakukan secara berperingkat,” katanya pada sidang media setelah perjumpaan dengan guru besar sekolah dan pengetua di Labuan, bertempat di dewan konvensyen sebuah resort di sini, hari ini.

Katanya, fasa kedua sekolah akan dibuka semula melibatkan pelajar lain (murid sekolah rendah dan pelajar sekolah menengah Tingkatan 1, 2, 3 dan 4) dengan kapasiti (kehadiran) 50 peratus akan dilakukan dalam tempoh dua minggu akan datang (selepas 3 Oktober) melalui kaedah ‘flip Classroom’.

Radzi berkata KPM telah menerima input dan pandangan mengenai cadangan pembukaan semula sekolah dari Jawatankuasa Pengurusan Bencana Labuan semalam (5 September), yang dianggotai oleh Pengarah Jabatan Kesihatan Labuan Dr Ismuni Bohari dan Pengerusinya Rithuan Ismail.

“Saya telah mengadakan perbincangan dengan wakil-wakil sekolah termasuk pengetua dan guru besar serta wakil dari pelbagai Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dalam satu slot libat urus untuk mendapatkan input dan persetujuan mereka bagi membuka semula sesi persekolahan. – Bernama

Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin pada sidang media selepas Sesi Libat Urus Bersama Pengetua dan Guru Besar Labuan. – Bernama