Wednesday, April 24, 2024
29.7 C
Brunei

    -

    Pelajar Mahad juara Pertandingan Kuiz ASEAN

    Oleh Nurdiyanah R.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 20 MAC – Tiga orang penuntut Tahun 9 dari Sekolah Mahad Islam Brunei telah mengungguli Pertandingan Kuiz ASEAN Peringkat Kebangsaan ke-10 2022 anjuran Jabatan Penerangan, Jabatan Perdana Menteri (JPM) melalui Unit Ehwal Antarabangsa dengan kerjasama Unit Akli, Jabatan Pendidikan Kokurikulum, Kementerian Pendidikan.

    Dayang Nur Ridwana Syazwina binti Sukardi dinobatkan sebagai juara, manakala itu, naib juara disandang oleh Dayang Nur’Aishah Irdhina binti Haji Ahmad Yani Zulkarnain dan Dayang Nursyamimi Syazwana binti Jefferyzin di tempat ketiga.

    Majlis penyampaian hadiah bagi pertandingan berkenaan telah diadakan di Auditorium Jabatan Penerangan, petang tadi di mana hadir menyempurnakan penyampaian hadiah-hadiah ialah Pemangku Pengarah Penerangan selaku Pengerusi Jawatankuasa Kecil

    Penerangan (SCI) Komiti Kebudayaan dan Penerangan (ASEAN-COCI), Dayang Siti Bismi Nuruliman binti Haji Awang Emzah.

    Dalam ucapan alu-aluan, Pemangku Pegawai Penerangan Kanan, Jabatan Penerangan, Awang Mohamad Azmi bin Awang Damit antara lain menyatakan Kuiz ASEAN yang diadakan dua tahun sekali itu merupakan salah satu projek SCI ASEAN-COCI yang telah dilancarkan pada 2002, dan negara-negara anggota ASEAN menganjurkan Kuiz ASEAN Peringkat Serantau secara bergilir-gilir.

    Jelasnya lanjut, menerusi pertandingan kuiz berkenaan, ia bertujuan untuk memupuk semangat persaingan yang sihat dalam kalangan para belia ASEAN dalam peringkat sekolah menengah dalam suasana pertandingan kuiz yang mesra dan mendedahkan mereka kepada pelbagai maklumat mengenai budaya, politik, ekonomi dan sosial ASEAN.

    Di samping itu, ia juga diadakan sebagai usaha meningkatkan kesedaran dalam kalangan belia dan masyarakat awam mengenai ASEAN dan negara-negara anggotanya.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Penerangan, seramai 243 pelajar dari 19 buah sekolah bertanding di peringkat saringan dan 20 pelajar kemudiannya mara ke peringkat separuh akhir.

    Ketiga-tiga pemenang tersebut memperoleh markah tertinggi menewaskan 10 peserta yang bertanding di peringkat kebangsaan pada 29 November lalu.

    Dalam pada itu, ketiga-tiga pemenang berkenaan turut mewakili negara ke pertandingan serantau secara dalam talian yang dianjurkan oleh Republik Kesatuan Myanmar selaku tuan rumah pada 14 Disember lalu.

    Sesi bergambar ramai semasa majlis berkenaan.
    Dayang Siti Bismi semasa menyampaikan hadiah kepada Dayang Nur Ridwana.
    Awang Mohamad Azmi semasa menyampaikan ucapan alu-aluannya.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Badak air betina disangka jantan

    TOKYO, 23 APRIL - Terperdaya oleh DNA dan tabiat tandas yang pelik, seekor badak air di Jepun yang disangka jantan selama tujuh tahun sebenarnya...