Oleh Siti Nur Wasimah S.
BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Mac – Pelajar-pelajar Maktab Duli Pengiran Muda Al-Muhtadee Billah (Maktab Duli) hari ini diraikan pada Majlis Penyampaian Hadiah Cemerlang dalam Peperiksaan Brunei Cambridge GCE ‘A’ Level Oktober/November 2016 dan Pra-U Bawah dalam Peperiksaan Penilaian ‘AS’ Level 2016, yang berlangsung di Auditorium Maktab Duli pagi tadi.
Hadir selaku tetamu kehormat ialah Pengarah Urusan, Insurans Islam TAIB General Takaful Sendirian Berhad, Haji Osman bin Haji Md Jair.
Haji Osman dalam ucapannya berkata, kesedaran para ibu bapa dan pelajar-pelajar masa kini menitikberatkan akan kepentingan mempunyai kelulusan yang lebih tinggi, menyebabkan permintaan untuk meneruskan pelajaran ke peringkat institusi pengajian tinggi semakin bertambah dari tahun ke tahun. Oleh itu, kelayakan kemasukan semakin sukar bagi memastikan kualiti graduan-graduan yang dikeluarkan akan terus meningkat.
“Ini dengan sendirinya memaksa pelajar-pelajar untuk berusaha lebih gigih bagi memastikan keputusan peperiksaan sejajar dengan kelayakan bagi melanjutkan pelajaran di institusi-institusi pengajian tinggi. Ini adalah salah satu cabaran yang perlu dihadapi oleh pelajar-pelajar pada masa ini,” katanya.
Beliau berharap pelajar-pelajar tidak merasa gentar dengan cabaran-cabaran yang bakal dilalui bahkan lebih bersemangat dan berdaya saing untuk mencapai kejayaan yang dicita-citakan.

Beliau juga menyarankan agar pihak maktab akan terus bekerjasama dengan ibu bapa contohnya dalam memperkukuhkan Persatuan Ibu bapa dan Guru-guru, yang secara langsung akan dapat membantu meningkatkan pengetahuan ibu bapa, memberikan motivasi kepada pelajar-pelajar dan meningkatkan pengajaran guru-guru dalam bilik kuliah.
Sementara itu, Pemangku Pengetua Maktab Duli, Hajah Monaliza binti Haji Abdul Halim dalam ucapannya berkata, sebanyak lima kategori penghargaan dianugerahkan kepada pelajar iaitu kepada 23 orang penerima bagi Kategori Outstanding Achievement Award in GCE ‘A’ Level Oktober/November 2016, 32 orang penerima bagi Kategori Special Mention Award by Subjects in GCE ‘A’ Level Oktober/November 2016, dua orang penerima bagi Top Most Achievement Hostellite Award, 14 orang pe-nerima bagi Kategori Top Overall Award for AS Mock Examination dan 28 orang penerima bagi Kategori Special Mention Award by Subjects in AS Examination.
Menurut beliau, pencapaian maktab dalam Peperiksaan BC-GCE ‘A’ Level Oktober/November 2016 sangat menggalakkan di mana peratus lulus bagi pencapaian 3 ‘A’ Level ke atas telah meningkat jika dibandingkan dengan keputusan tahun 2015 dan tahun sebelumnya, iaitu pencapaian sebanyak 67.89 peratus.