Pelajar Maktab Sains kenali asean

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 MAC – Jabatan Penerangan, Jabatan Perdana Menteri, melalui Unit Hal Ehwal Antarabangsa, selaku Sekretariat bagi Jawatankuasa Kecil Penerangan (SCI) ASEAN-COCI, baru-baru ini, telah mengadakan Jerayawara Kenali ASEAN di Maktab Sains Paduka Seri Begawan Sultan (Maktab Sains).

Seramai 890 orang penuntut telah menghadiri jerayawara berkenaan yang merupakan salah satu usaha berterusan Jabatan Penerangan dalam menyuntik semangat patriotisme dan sifat perpaduan (ASEAN-ness) dalam kalangan penuntut-penuntut bagi sama-sama menghayati fungsi dan tujuan ASEAN ditubuhkan, dalam masa yang sama mengukuhkan hubungan antara Jabatan Penerangan dengan masyarakat khususnya penuntut-penuntut di Negara Brunei
Darussalam.

Hadir sama pada program itu ialah Pengetua Maktab Sains, Dayang Susilawati binti Dato Paduka Haji Muhammad dan tenaga pengajar.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Jabatan Penerangan, program diisikan dengan nyanyian lagu kebangsaan Negara Brunei Darussalam, ‘Allah Peliharakan Sultan’ dan lagu tema ASEAN ‘The ASEAN Way’ sebelum taklimat Kenali ASEAN disampaikan oleh Pemangku Pegawai Penerangan selaku Ketua Unit Hal Ehwal Antarabangsa, Jabatan Penerangan, Hajah Noorhijrah binti Haji Idris.

Selain itu, para pelajar turut menyaksikan tayangan klip video mengenai ASEAN dan mengikuti Kuiz ASEAN yang dikendalikan oleh Pembantu Pegawai Luar Penerangan, Unit Hal Ehwal Antarabangsa, Jabatan Penerangan, Dayang Nur-Effa Ryina binti Pengiran Haji Hamdani. Seramai 10 orang penuntut menerima hadiah bagi kuiz
berkenaan.

Jerayawara turut mempromosikan aplikasi mudah alih We ASEAN yang mengandungi maklumat mengenai ASEAN dan negara-negara ahli ASEAN, Kalendar ASEAN, kuiz, galeri gambar dan video.

Para pelajar Maktab Sains yang menghadiri Jerayawara Kenali ASEAN. – Gambar serahan Jabatan Penerangan