Pelajar maut cari liputan internet

SIBU, 4 OGOS – Tragedi yang menimpa seorang pelajar perempuan yang maut akibat dilanggar lari ketika sedang mencari liputan internet di Julau Isnin lalu, mendapat perhatian Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah.

Dalam satu kenyataan yang diterima di sini, beliau menyatakan kesedihannya dengan kejadian yang berlaku kira-kira pukul 9 malam itu yang mengakibatkan kematian Kemalia Fran George, 17, selepas dilanggar sebuah kenderaan yang belum dikenal pasti.

“Saya amat bersimpati dan ingin menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga seorang remaja perempuan yang meninggal dunia pada 2 Ogos 2021 akibat dilanggar lari ketika sedang mencari liputan internet di Jalan Julau-Nanga Entabai, Sarikei, Sarawak,” katanya.

Beliau berkata di kawasan kejadian, sebuah menara baharu sedang dalam proses pembangunan oleh pihak Lembaga Multimedia Sarawak (SMA) yang merupakan agensi utama untuk transformasi ekonomi digital yang meng-awasi dan mengawal selia strategi dan inisiatif digital di Sarawak. – Bernama