Pelajar MIC rai kejayaan, kerja keras tempuhi cabaran

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 SEPT – Tahun ini merupakan semester yang mencabar bagi kumpulan pelajar Kolej Antarabangsa Micronet (MIC) yang berada di semester akhir dengan wabak COVID-19 melanda dunia.

Krisis ini secara serius mengganggu cara pengajaran dan penyampaian pengetahuan tradisional kepada para pelajar di mana pelajar dikehendaki belajar sepenuhnya dalam talian pada awal semester baharu pada April lalu dan diikuti dengan pembelajaran campuran sebelum sekolah dibenarkan dibuka semula secara skala penuh pada 26 Julai lalu.

Bagaimanapun, para pelajar tetap menunjukkan semangat dan kerja keras mereka membuahkan hasil apabila meraikan kejayaan mereka bersama kakitangan dan pensyarah pada majlis perpisahan yang diadakan di kolej berkenaan, baru-baru ini.

Bekas pelajar Pensijilan BTEC Antarabangsa Tahap 2 dalam Teknologi Maklumat, Awang Ahmad Darwisy bin Haji Mohd Zaifulizham berkata, “Sebelum ini, saya tidak mempunyai pengetahuan asas IT. Setelah melanjutkan pelajaran di MIC, saya mendapati bahawa kursus tersebut seronok dan hebat.

“Modul pembangunan laman web dan berkaitan multimedia sangat menarik dan dari situ, saya terdorong untuk melanjutkan pelajaran di MIC untuk peringkat seterusnya, iaitu Diploma Kebangsaan BTEC Tahap 5 dalam Pengkompute-ran,” tambah beliau yang melanjutkan pelajarannya di MIC bagi Diploma BTEC Tahap 3 dalam Teknologi Maklumat.

Sementara itu, bekas pelajar Persijilan BTEC Antarabangsa Tahap 2 dalam Teknologi Maklumat pada 2018, Poca Elishacastro pula mengatakan bahawa beliau seronok dengan pengalaman yang diperolehnya dalam pelbagai aktiviti dan acara ECA yang diadakan selama tempoh pengajiannya.

“Pengalaman saya di MIC sangat berharga dan saya telah meningkatkan pelajaran saya dari semasa ke semasa dan sangat selesa di persekitaran kolej ini bersama rakan sekelas dan pensyarah saya,” kongsi beliau yang kini dalam semester akhir MIC untuk Diploma BTEC Tahap 3 dalam Teknologi Maklumat.

Para pelajar MIC tetap menunjukkan semangat dan kerja keras yang telah membuahkan hasil meskipun berdepan dengan cabaran wabak COVID-19.