Pelajar mula terima vaksin 8 Nov ini

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 NOV – Program Vaksinasi Kebangsaan (PVK) bagi Pelajar Berumur 12 hingga 17 tahun akan bermula pada 8 November di mana ia melibatkan seramai 38,201 orang pelajar di sekolah-sekolah dan institusi-institusi pendidikan di bawah kawalan Kementerian Pendidikan, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) dan sekolah-sekolah swasta termasuk sekolah-sekolah antarabangsa.

Perkara itu diumumkan oleh Menteri Pendidikan,Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Hamzah bin Haji Sulaiman semasa Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam yang berlangsung di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

Sebagai mempertingkatkan usaha dalam mengekang penularan wabak COVID-19 di negara ini, katanya, Kementerian Pendidikan bekerjasama rapat dengan Kementerian Kesihatan dalam program vaksinasi bagi mereka yang berusia 12 hingga 17 tahun yang majoritinya adalah terdiri daripada golongan pelajar.

“Sepertimana yang telah diberigakan oleh Yang Berhormat Menteri Kesihatan sebelum ini, semua kanak-kanak berumur di antara 12 hingga 17 tahun yang menetap di Negara Brunei Darussalam adalah layak untuk menerima vaksin COVID-19, iaitu vaksin yang diluluskan di negara ini untuk digunakan oleh kanak-kanak berusia 12 tahun dan ke atas.

Yang Berhormat Menteri Pendidikan semasa sidang media di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan. – Gambar oleh Muiz Matdani

“Program ini akan bermula pada hari Isnin, 8 November 2021 bagi pelajar-pelajar berkenaan di sekolah-sekolah dan institusi-institusi pendidikan di bawah kawalan Kementerian Pendidikan, KHEU dan sekolah-sekolah swasta termasuk sekolah-sekolah antarabangsa,” ujarnya.

Beliau berkata bahawa seramai 38,201 orang pelajar akan menjalani program vaksinasi tersebut di mana ia meliputi pelajar sekolah-sekolah kerajaan, sekolah-sekolah swasta, institusi pendidikan tinggi dan pelajar-pelajar berkeperluan khas di bawah kawalan Kementerian Pendidikan serta sekolah-sekolah Arab di bawah kawalan KHEU.

Program vaksinasi itu akan dijalankan di keempat-empat daerah di mana bagi Daerah Brunei dan Muara, ia dikendalikan di empat lokasi iaitu Stadium Tertutup, Universiti Brunei Darussalam, MRS Bolkiah (Angkatan Bersenjata Diraja Brunei) dan Pusat Kesihatan Jubli Emas, Bunut; bagi Daerah Tutong ia dikendalikan di Dewan Seri Kenangan, Pekan Tutong; dua lokasi bagi Daerah Belait iaitu Learning Centre, Hospital Suri Seri Begawan dan Klinik Kesihatan Panaga; serta bagi Daerah Temburong di Dewan Kemasyarakatan Belalong, Pekan Bangar.

Sehubungan dengan itu, Kementerian Pendidikan telah bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan, KHEU, sekolah-sekolah serta institusi-institusi pendidikan swasta dan sekolah antarabangsa bagi menyediakan jadual untuk memudahkan pihak sekolah, pelajar dan ibu bapa serta penjaga untuk hadir ke pusat-pusat vaksinasi berkenaan pada hari dan masa yang telah ditetapkan.

Perincian mengenai penjadualan tarikh dan waktu bagi sekolah-sekolah dan peringkat pelajar yang akan men-vaksinasi akan dimaklumkan melalui pihak sekolah masing-masing dan juga dimuat naik ke laman web dan platform-platform media sosial Kementerian Pendidikan.

Selain itu, semasa pelaksanaan PVK Pelajar ini nanti, pihak Kementerian Pendidikan, KHEU serta sekolah-sekolah swasta dan antarabangsa akan menugaskan pegawai dan guru-guru pengawas untuk mengiring dan bekerjasama dengan pihak petugas di lokasi-lokasi vaksinasi yang telah ditetapkan.

Namun pada masa yang sama, Kementerian Pendidikan akan memastikan jumlah keramaian petugas itu nanti adalah mengikut peraturan yang berkuat kuasa di pusat-pusat vaksinasi berkenaan.

Dalam hubungan itu, Kementerian Pendidikan memohon kerjasama para ibu bapa dan penjaga-penjaga yang akan menemani anak-anak mereka pada tarikh vaksinasi nanti untuk memberikan kerjasama semasa PVK

Pelajar berjalan khasnya dalam menepati waktu kehadiran sebelum sesi vaksinasi bermula dan juga mematuhi segala keperluan keselamatan yang ada.

Kementerian Pendidikan juga menyeru kerjasama ibu bapa dan penjaga dalam memastikan anak-anak mereka mengambil sarapan atau makanan sebelum hadir ke pusat vaksinasi.

Kementerian Pendidikan berharap program vaksinasi itu nanti akan berjalan dengan lancar dan selamat demi mendukung hasrat negara dalam mengekang penyebaran pandemik dan mencapai kadar kawalan yang dihasratkan.

Kementerian Pendidikan juga berharap dengan kerjasama serta berkat doa daripada ibu bapa dan penjaga, usaha itu nanti akan dapat melindungi dan menghindari anak-anak daripada COVID-19 dan seterusnya membolehkan mereka untuk hadir ke sekolah apabila sekolah-sekolah dibuka secara berperingkat nanti.

Untuk sebarang rujukan mengenai program itu, para ibu bapa dan penjaga pelajar-pelajar boleh merujuk kepada sekolah masing-masing atau merujuk saluran rasmi Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pendidikan sama ada melalui laman sesawang atau pun media sosial kementerian berkenaan.