Pelajar niaga kek dalam talian, manfaat sekatan pergerakan

KIGALI – Suatu petang di kawasan kejiranan Bwiza yang tenang di ibu kota Rwanda, Kigali, pelajar jurusan kewangan Johnson Runuya sibuk mengadun pelbagai jenis bahan untuk membuat kek buah coklat, dengan aroma memenuhi ruang dapur hingga membuatkan sesiapa pun berasa lapar.

“Melakukan aktiviti bakeri itu senang dan seronok. Saya suka membuat bakeri sejak kecil. Kek yang enak dan cantik tidak boleh dilakukan secara bergegas, ia memerlukan kesabaran dan kreativiti,” kata Runuya sambil memasukkan adunan ke dalam kuali sebelum memanaskannya. Dia kemudian membiarkan adunan itu mendidih selama 10 minit.

Perniagaan bakeri miliknya, Johnson The Baker kini menawarkan kek hari jadi, kek perkahwinan dan kek acara korporat dan harganya berbeza-beza bergantung pada jenis, saiz dan perisa kek dari 2,000 franc Rwanda (sekitar AS$2) hingga 27,000 franc Rwanda (sekitar AS$27).

Kurang dari setahun setelah perniagaan bakeri dalam talian ditubuhkan, perniagaan itu menerima lebih daripada 20 pesanan setiap hari, yang menghasilkan perolehan bulanan lebih dari lima juta franc Rwanda (sekitar AS$5,000).

Johnson Runuya, seorang pelajar jurusan kewangan dan pengusaha bakeri secara dalam talian. – Xinhua
Johnson (kiri) menyerahkan kek kepada tukang penghantar untuk dihantar ke pelanggannya. – Xinhua

Runuya mula melakukan aktiviti bakeri pada tahun 2018 semasa berada di sekolah menengah setelah keluarganya membeli sebuah rumah dengan dapur indoor, sambil menyeimbangkan waktu sekolah dan melakukan bakeri. Langkah-langkah perintah berkurung yang berkuat kuasa mulai 21 Mac 2020 bertujuan untuk membendung penyebaran COVID-19 yang memaksa banyak perniagaan ditutup, tetapi memberi masa dan inspirasi kepada pelajar universiti itu untuk memulakan pernia-gaan dalam talian.

“Oleh kerana langkah-langkah kawalan pergerakan yang bertujuan untuk melindungi kesihatan awam dan permintaan pengguna yang semakin meningkat untuk mengelakkan kedai fizikal, saya menyedari saya dapat menjana wang dengan menjual kek saya secara dalam talian. Saya memulakan portal dalam talian di mana saya boleh menyiarkan gambar-gambar kek saya. Laman sesawang ini juga mempunyai pilihan di mana pelanggan dapat membuat pesanan mereka secara dalam talian,” kata pemuda berusia 19 tahun itu, yang melakukan penempatan kerja di kedai bakeri sebelum perintah berkurung.

Dia melancarkan laman sesawang kedai bakerinya hanya beberapa hari selepas perintah berkurung dimulakan, dan mula menerima beberapa pesanan daripada rakan, keluarga dan rakan sekolahnya di universiti. Pesanan itu semakin banyak bermula pada bulan April ketika dia memasarkan perniagaannya melalui media sosial.

“Ketika perniagaan saya berkembang, dengan pesanan yang banyak dan hanya bergantung pada diri sendiri, ada kalanya saya akan membakar berjam-jam dari pagi hingga larut malam hanya untuk membuat pesanan selesai tepat pada waktunya. Walau bagaimanapun, ini mendorong saya untuk mengupah tiga lagi tukang roti profesional untuk menampung pesanan yang besar,” katanya.

Dengan adanya pesanan yang banyak juga mendorongnya untuk bekerja lebih keras untuk memenuhi permintaan tersebut.

“Saya harus memastikan semua pelanggan saya me-nerima pesanan mereka tepat pada waktunya. Tujuan utama saya adalah untuk membuat pelanggan saya gembira dan membuat sesuatu yang saya tidak sabar-sabar untuk lakukan setiap hari,” katanya sambil menambah impiannya sejak dia masih kecil memiliki pernia-gaan bakeri sendiri telah menjadi kenyataan.

Usahawan muda itu mengaitkan kejayaannya dengan kualiti dan kecekalan kerja, kemampuan, kualiti perkhidmatan dan inovasi. Mengendalikan dan mengembangkan perniagaan pada usia muda memberi tekanan pada dirinya kerana dia masih melanjutkan pengajian sarjana tahun pertama di Universiti Kigali, tetapi baginya ini dapat dilakukan dengan “dedikasi dan kerja keras”.

Dia juga tidak sabar untuk menjadikan perniagaan bakeri itu sebagai peneraju pasaran di Rwanda dalam beberapa tahun akan datang. – Xinhua