Pelajar PB lawat stesen jana kuasa

Oleh Nurdiyanah R.
Gambar serahan Jabatan Tenaga

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 JUN – Dengan matlamat untuk meningkatkan kesedaran dan kefahaman tentang pengoperasian dan penyelenggaraan serta teknologi stesen jana kuasa elektrik secara menyeluruh, lebih 60 orang pelajar dari Politeknik Brunei (PB) telah menyertai lawatan ke dua buah stesen jana kuasa dan pusat kawalan negara di bawah kendalian Autoriti Elektrik Negara Brunei Darussalam, baru-baru ini.

Lawatan tiga hari bersempena Minggu Tenaga, Persidangan dan Pameran Pertengahan Tahun Brunei (Brunei MYCE) 2022 dengan tema ‘Jaminan Tenaga dan Peralihan Tenaga: Hari ini dan Seterusnya’ itu telah diadakan di Stesen Janakuasa Bukit Panggal dan Stesen Janakuasa Berakas serta Pusat Kawalan Negara.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Tenaga, sektor tenaga elektrik di Negara Brunei Darussalam telah bermula sejak 1921 apabila kuasa elektrik dijanakan menggunakan dua buah penjana kuasa diesel berukuran kecil bagi memenuhi keperluan Jabatan Wireless dan Telegraf.

Semenjak itu, sektor tenaga elektrik di negara ini telah berkembang maju, dengan terbinanya stesen jana kuasa berkuasa diesel yang pertama pada 1935.

Setakat hari ini, lapan buah loji jana kuasa sedang beroperasi di negara ini yang membekalkan tenaga elektrik kepada 99.9 peratus penduduk di negara ini.

Selaras dengan agenda negara bagi mengukuhkan jaminan tenaga dan peralihan tenaga, stesen jana kuasa negara telah melalui transformasi penting, dengan menggunakan inovasi teknologi untuk meningkatkan kecekapan bagi mengekalkan bekalan elektrik yang selamat, boleh dipercayai dan berterusan kepada rakyat dan penduduk di negara ini.

Kenyataan menyatakan, perubahan landskap tenaga negara telah menyebabkan sektor tenaga elektrik mengalami perubahan yang ketara sepanjang satu dekad yang lalu dan dilihat akan terus berkembang maju selaras dengan perkembangan negara.

Walau bagaimanapun, sektor tenaga elektrik di negara ini akan sentiasa berusaha untuk memenuhi keperluan yang semakin meningkat sesuai dengan visi tenaga masa depan untuk menjadikan Negara Brunei Darussalam semakin mampan dan rendah karbon.

Antara pelajar Politeknik Brunei semasa mengadakan lawatan ke salah sebuah stesen jana kuasa baru-baru ini.