Pelajar Perancis diarah pakai pelitup muka semula

PARIS, 8 NOV – Kanak-kanak sekolah di sebahagian besar Perancis hari ini diarahkan memakai pelitup muka sekali lagi dalam kelas, kurang sebulan selepas dibenarkan menanggalkannya, tatkala negara itu berusaha mengurangkan kes jangkitan COVID-19.

Sekolah rendah di 40 daripada 101 kawasan Perancis atau kawasan pentadbiran, yang tidak memakai pelitup muka selama beberapa minggu, terjejas oleh arahan itu, yang keluar sehari sebelum Presiden Emmanuel Macron menyampaikan ucapan kepada negara mengenai krisis kesihatan.

Di bawah protokol COVID kerajaan, pelajar sekolah rendah perlu memakai pelitup muka apabila kadar meningkat melebihi 50 jangkitan baharu setiap 100,000 penduduk dalam lima hari berturut-turut.

Dengan hampir 75 peratus daripada populasi menerima vaksin COVID-19, Perancis adalah salah satu pemimpin vaksinasi di Eropah.

Perintah kerajaan terbaharu membawa kepada 61 jumlah kawasan di mana pelajar sekolah perlu menutup hidung dan mulut mereka.

Mereka termasuk kawasan sekitar Paris serta selatan bandar Marseille.

Di sekolah menengah, pelitup muka masih diwajibkan tanpa mengira jumlah kes COVID-19.

Pada petang esok, Macron akan menyampaikan ucapan kepada negara mengenai krisis kesihatan untuk kali pertama sejak 12 Julai. – AFP