Thursday, April 18, 2024
34.4 C
Brunei

    -

    Pelajar perempuan dibenar duduki peperiksaan tamat pengajian

    ISLAMABAD, 7 DIS – Pelajar perempuan Afghanistan akan dibenarkan untuk menduduki peperiksaan tamat pengajian sekolah tinggi pada minggu ini, menurut pegawai dan dokumen dari kerajaan Taliban, kelmarin.

    Menurut dua buah dokumen yang dikeluarkan oleh kementerian pendidikan Taliban, yang diperoleh oleh Associated Press, keputusan itu terpakai kepada 31 daripada 34 buah wilayah, di mana cuti sekolah musim sejuk bermula penghujung Disember.

    Ehsanullah Kitab, ketua jabatan pendidikan Kabul, berkata peperiksaan akan diadakan hari ini. Dia tidak memberikan butiran terperinci dan masih belum jelas berapa ramai pelajar perempuan yang akan menduduki peperiksaan tersebut.

    Salah satu dokumen, dari jabatan pendidikan Kabul, menyatakan bahawa peperiksaan akan bermula dari 10 pagi hingga 1 petang. Dokumen kedua, yang ditandatangani oleh Habibullah Agha, menteri pendidikan yang memegang jawatan pada September lalu, menyatakan peperiksaan akan diadakan di 31 buah wilayah.

    Tiga buah wilayah yang terkecuali iaitu Kandahar, Helmand dan Nimroz, mempunyai jadual tahunan persekolahan yang berbeza dan peperiksaan tamat pengajian sekolah tinggi biasanya diadakan kemudian.

    Sebelum ini pelajar perempuan dilarang daripada menghadiri kelas sejak Taliban mengambil alih pemerintahan pada tahun lalu.

    “Ini tidak masuk akal,” kata Najela, 18, dari Kabul, yang hanya memberikan nama pertama. Dia ketika ini berada pada tahun 12 dan layak menduduki peperiksaan.

    “Kami menghabiskan masa sepanjang tahun berada dalam tekanan dan tidak membaca satu muka surat pun daripada buku teks kami.”

    “Bagaimana kami boleh menduduki peperiksaan selepas setahun setengah Taliban menghalang kami dari bersekolah,” tambahnya. – AP

    Pelajar perempuan Afghanistan menghadiri sekolah agama, yang masih dibuka sebelum Taliban mengambil alih pemerintahan. Mereka kini dibenarkan untuk menduduki peperiksaan tamat pengajian sekolah tinggi pada minggu ini. – AP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Utusan AS ke PBB berikrar sokong keluarga Jepun yang diculik Korea...

    TOKYO, 18 APRIL - Amerika Syarikat (AS) berdiri bersama Jepun sehingga semua warga Jepun yang diculik oleh Korea Utara beberapa dekad lalu pulang ke...