Pelajar perlu patuhi peraturan penjarakan sosial

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 JUN – Setelah lebih kurang tiga bulan menjalani online home-based learning (HBL) demi mengurangkan penularan pandemik COVID-19, akhirnya sebahagian pelajar akan mula kembali ke sekolah secara berperingkat-peringkat mulai esok.

Akan tetapi sebagai langkah berjaga-jaga, bagi para pelajar atau tenaga pengajar yang mendapati diri mereka kurang sihat atau demam, mereka diberi kelonggaran untuk tidak hadir ke sekolah dan meneruskan pembelajaran melalui HBL.

Keramaian penuntut juga akan diatur atau diperluaskan skop penjarakan di dalam kelas dengan menggunakan dewan atau bilik tambahan dan sebagainya.

Menurut salah seorang ibu bapa, Haji Sohaili ketika ditemui Media Permata berkata, beliau berpendapat usaha berterusan dan persiapan serta prosedur terperinci terutamanya yang berkaitan dengan kesihatan dan penjarakan fizikal hendaklah dicuba dan dipraktikkan sebagai suatu inisiatif bagi mengawal jangkitan penyakit COVID-19 di Negara Brunei Darussalam.

“Namun ini bukan bererti kita sudah bebas dan boleh bergerak atau beraktiviti sewenang-wenangnya tanpa sebarang kawalan lanjut,” ujarnya.

Pihak sekolah mengambil langkah berjaga-jaga dengan melekatkan tanda peringatan untuk sentiasa mengamalkan penjarakan sosial. – Gambar oleh Lyna Mohamad

“Demi kelangsungan hidup, kita wajar membiasakan diri dengan normal baharu berikutan wujudnya pandemik COVID-19,” tambahnya.

Beliau berkata, “Kita semua maklum bahawa belum ada suatu ubat atau vaksin yang ditemui sehingga kini, namun satu alternatif berkesan bagi menangani dan menghindari penularan virus berkenaan adalah dengan penjarakan fizikal, kerap mencuci tangan dan juga memakai penutup mulut dan hidung bagi yang kurang sihat.”

Haji Sohaili juga menyentuh mengenai prestasi akademik para pelajar yang akan menduduki peperiksaan awam utama.

“Ini adalah suatu cabaran yang amat berat dan menyukarkan, namun dengan kecekalan dan kesungguhan serta iltizam para pelajar dan tenaga pengajar, tidak mustahil kita mampu untuk terus merealisasikan pembelajaran yang efisien dan bernilai tambah akibat wabak COVID -19 ini.”

“Apa yang lebih saya kagumi juga adalah keprihatinan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam melalui para pihak berwajib, khususnya Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pendidikan yang tidak kendur-kendur untuk mencetuskan beberapa alternatif dan kemudahan serta tatacara yang berpatutan agar kelangsungan sesi pembelajaran para pelajar tetap terjamin,” tambah beliau.

“Lebih signifikan lagi apabila penerapan Revolusi Industri 4.0 begitu cepat diadaptasikan di negara kita yang sudah begitu menghampiri detik wawasan 2035”.

“Bersama-samalah kita terus mematuhi segala arahan atau larangan pihak kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia sebagai rakyat dan penduduk yang taat kepada pemerintah, berdisiplin, berdaya saing, mempunyai jati diri dan berwawasan,” tambahnya.