Pelajar perniagaan PB ketengah idea 1 Dis

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 NOV – Seramai 21 studentpreneur (pelajar yang juga usahawan) dan 10 usaha sama mikro dari Sekolah Perniagaan, Politeknik Brunei (PB) bakal mengetengahkan idea-idea mereka pada acara PB Startup Lab Showcase 2019 yang akan berlangsung pada 1 Disember depan di Kompleks Membeli-belah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan).

Menurut kenyataan yang dikeluarkan PB, pelajar-pelajar berkenaan kini sedang mengikuti program Diploma dalam Pengajian Perniagaan dan Diploma dalam Pengajian Perniagaan (Keusahawanan) dan acara berkenaan adalah sebahagian daripada keperluan di bawa modul inkubasi penempatan yang diketuai oleh Penyelaras Inkubasi, Goh Chai Li.

Pelajar-pelajar berkenaan telah menamatkan penempatan selama tiga bulan bersama mentor luar masing-masing dan sedang mengerjakan usaha niaga mereka sendiri.

Kenyataan menjelaskan, program inkubasi berkenaan mempersiapkan para pelajar berkenaan dalam bidang-bidang kepimpinan, kreativiti, pemasaran, perancangan perniagaan dan kewangan dan sumbangan daripada pensyarah-pensyarah Sekolah Perniagaan serta penceramah-penceramah industri jemputan.

Acara tersebut bermatlamat untuk memberi peluang kepada para pelajar untuk berkomunikasi, mengesahkan dan memperbaiki produk dan perkhidmatan yang ditawarkan.

Usaha sama pelajar yang terlibat dalam acara itu termasuk Barakah Event Management, Bengkel 42, Code: Brew, Gunung Mutiara Agrotech, HADYA, In the Vibes, Kantong, Lets.Make.Eat, Mr & Mrs Asianista dan Oh Bulan.

Dalam pada itu, PB turut menyampaikan penghargaan atas tunjuk ajar mentor daripada 12 buah syarikat iaitu Aewon Garment and Embroidery, Benchlab, Battle Pro MMS, Collective Wildflower Café, D’Sunlit Sdn Bhd, iHome Design Enterprise, Kaleidoscope Studio, Riza Group, RYS Entertainment, Simply Sayang Enterprise dan Kapra Coffee Roaster.