Saturday, April 20, 2024
30.2 C
Brunei

    -

    Pelajar perubatan Syria impikan penghijrahan ke Jerman

    Gambar AFP

    DAMSYIK, SYRIA – Pelajar perubatan di Syria, Mohammed Shasho sibuk dengan pelajarannya, tetapi apabila ada masa lapang, dia juga mempelajari kosa kata dan tatabahasa Jerman dengan harapan dapat berpindah ke Eropah.

    Seperti kebanyakan belia di negara yang dilanda peperangan itu, dia berhasrat untuk bersatu dengan hampir satu juta orang Syria yang sudah berada di Jerman untuk meningkatkan pendidikannya dan mungkin mencari pekerjaan di sana.

    “Jerman sangat sukar dipelajari, lebih-lebih lagi ia tidak diajar oleh penutur asli di Syria,” kata lelaki berusia 23 tahun itu yang kerap membaca buku teks dan tutorial video bahasa Jerman. Usaha ini akan “berbaloi, sekiranya saya menjejakkan kaki di Jerman,” kata Shasho kepada AFP di halaman klinik kesihatan Damsyik, tempat dia menjadi sukarelawan.

    Kelas bahasa Jerman semakin banyak di Syria dalam beberapa tahun kebelakangan, di mana kebanyakan pelajar bahasa asing sebelum ini memilih bahasa Inggeris atau Perancis.

    Jerman telah menjadi destinasi yang diimpikan oleh doktor Syria yang ingin belajar dan bekerja jauh dari tanah air mereka yang dilanda konflik dan krisis ekonomi yang hebat.

    Omar Fattouh mengajar kelas bahasa Jerman di dalam kelas di Damsyik.
    Jaafar Mustafa melakukakan ujian saringan COVID19 ke atas pesakit di pusat perubatan di Damsyik. – AFP
    Omar Fattouh (kiri) mengajar kelas bahasa Jerman di Damsyik.
    Mohammed Shasho (kiri) dan Jaafar Mustafa (kanan) melakukan ujian saringan COVID ke atas pesakit di sebuah pusat perubatan di Damsyik.
    Mohammed Shasho (kiri) dan Jaafar Mustafa (kanan) menyemak peta Jerman pada komputer riba di Damsyik. – AFP
    Mohammed Shasho (kiri) dan Jaafar Mustafa (kanan) menguji tekanan darah pesakit di sebuah pusat perubatan di Damsyik. – AFP
    Mohammed Shasho (kiri) dan Jaafar Mustafa (kanan) melihat buku bahasa Jerman di Damsyik. – AFP

    Sejak perang bermula pada tahun 2011, puluhan pusat bahasa Jerman baru telah muncul di kawasan yang dikawal oleh kerajaan Syria, menyesuaikan dengan minat yang baharu ini.

    Walaupun rakyat Syria menghadapi kesulitan untuk mendapatkan visa ke banyak negara, pelajar perubatan dan doktor mungkin lebih mudah mendapatkannya jika destinasi mereka adalah untuk mencari pekerja kesihatan yang terlatih.

    Namun, untuk ke Jerman, Shasho dan orang lain sepertinya harus dapat menunjukkan tahap bahasa yang tinggi. Dia dan kawannya, Jaafar Mustafa, juga berusia 23 tahun, kedua-duanya pelajar perubatan tahun keenam di Universiti Damsyik, mengulangkaji bersama untuk meningkatkan kemahiran bahasa mereka semasa rehat di klinik.

    Jerman adalah ‘destinasi yang paling mudah dan selamat’ bagi orang Syria, kata Mustafa, dia menambah bahawa kelayakan dari negara itu sangat dihargai. “Ada komuniti Syria yang besar di sana, jadi saya tidak akan merasa terasing,” katanya kepada AFP. “Semua rakan saya telah atau sedang mempersiapkan diri untuk berhijrah ke sana atau sedang memikirkannya,” ujarnya.

    Tahun-tahun konflik yang membawa kepada kemiskinan telah memaksa kira-kira separuh daripada penduduk Syria sebelum konflik peperangan telah meninggalkan rumah mereka.

    Berjuta-juta orang melarikan diri ke negara-negara jiran atau ke Eropah. Kira-kira 924,000 orang Syria kini tinggal di Jerman berbanding dengan kira-kira 118,000 pada akhir 2014, menurut pejabat migrasi dan pelarian Jerman.

    Di Pusat Bahasa Arab di Damsyik, salah sebuah institut bahasa asing tertua di ibu kota Syria, pengarah Abdullah Saleh mengatakan bahawa pelajar-pelajar sebelum ini terutamanya berminat untuk belajar bahasa Inggeris dan Perancis sehingga sekitar tahun 2013.

    Sebelum perang, “Institut Goethe di Damascus adalah satu-satunya institusi yang terampil dalam pengajaran bahasa Jerman,” kata Saleh kepada AFP, tetapi kini ‘terdapat lebih daripada 80 pusat’ yang mengajar bahasa itu.

    Tahun lalu, lebih daripada 1,000 orang mendaftar untuk belajar bahasa Jerman di institut Saleh, dengan 70 peratus dalam kalangan mereka adalah pelajar perubatan atau profesional.

    Guru Omar Fattouh, seorang graduan dalam sastera Jerman di Universiti Damascus, menulis nota pada papan putih di institut tersebut dan dalam kalangan pelajar, ramai di antaranya wanita, mengikuti kelasnya.

    Dia mengatakan kini dia mengajar kira-kira 100 pelajar sehari di beberapa sekolah bahasa di ibu negara.

    Kebanyakan murid mahukan ‘penyatuan keluarga’ di Jerman atau ‘pelajar universiti, terutamanya mempelajari perubatan,’ kata Fattouh.

    Seramai 5,400 doktor Syria bekerja di Jerman pada tahun 2021, menempatkan mereka di puncak senarai pengamal perubatan asing mendahului pengamal perubatan dari Romania, Greece, dan Austria, menurut Persatuan Perubatan Jerman.

    Pegawai dan doktor Syria telah melahirkan kebimbangan mengenai aliran keluar doktor-doktor, dengan pegawai kementerian pendidikan Fadia Deeb mengakui bahawa pemergian doktor adalah satu ‘kenyataan’.

    Syria sedang mengalami kekurangan pakar onkologi, radiologi, anestetik dan fisioterapi, kata beliau kepada radio tempatan pada Mei tahun lalu, menyalahkan krisis ekonomi negara.

    Nabugh al-Awa, seorang profesor dan bekas dekan perubatan di Universiti Damsyik, mengatakan pelajar-pelajar kini mula belajar bahasa Jerman pada tahun pertama pengajian mereka di universiti. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...