Pelajar ponteng kelas sertai bantahan iklim

SYDNEY, 21 MEI – Ribuan warga Australia berarak dalam bantahan iklim di seluruh negara hari ini, dengan ramai pelajar sekolah ponteng kelas untuk menyuarakan kemarahan mereka terhadap projek gas baharu dan sikap kerajaan melengah-lengahkan matlamat pelepasan gas.

Pada acara dari Perth ke Brisbane itu, pembantah menggesa kerajaan supaya melakukan lebih banyak untuk mengatasi perubahan iklim, yang telah pun menjejas teruk Australia.

Benua itu adalah salah satu pengeluar arang batu dan gas asli terbesar dunia, tetapi juga mengalami kemarau, banjir dan kebakaran hutan yang semakin buruk dalam beberapa tahun ini.

Perdana Menteri Scott Morrison pada minggu ini mengetepikan amaran Agensi Tenaga Antarabangsa bahawa sasaran pelepasan tidak akan dipenuhi jika lebih banyak projek bahan api fosil dilaksanakan.

Kerajaannya mengumumkan pada Selasa ratusan juta dolar wang pembayar cukai akan digunakan untuk membina stesen tenaga gas baharu berhampiran Sydney. – AFP

Pelajar sekolah memegang sepanduk pada rapat ‘School Strike 4 Climate’ semasa mogok sekolah untuk tindakan iklim di Melbourne, kelmarin. – AFP