Oleh Hajah Saemah Kepli
SERIA, 13 Okt – Pelajar-pelajar yang menyertai Program Latihan ISQ Pengimpal dan Scaffolder, Kohort ke-6 di Syarikat Joffren Omar Sdn Bhd (JO) telah menerima sijil tamat latihan masing-masing, hari ini.
Penyampaian sijil kepada para peserta pada majlis yang diadakan di ibu pejabat syarikat berkenaan di kawasan Perindustrian Sungai Bera di sini telah disempurnakan oleh Pengarah Korporat Syarikat JO, Pengiran Mohd Noor Izzuddin bin Pengiran Omar.
Latihan yang telah bermula pada April lalu itu merupakan sebahagian daripada Rangka Kerja Kecekapan Industri Tenaga (EICF) yang ditetapkan oleh Jabatan Tenaga dan Perindustrian, Jabatan Perdana Menteri.
Ia adalah sebagai usaha bagi pekerja membangunkan kecekapan yang diperlukan bagi melaksanakan kerja-kerja dan peraturan di tempat kerja berasaskan permintaan tenaga manusia bagi industri serta untuk meningkatkan kebolehpasaran dengan menambah kemahiran dan untuk meningkatkan keramaian pekerja tempatan dalam industri tenaga.
Majlis penyampaian sijil berkenaan telah dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah disusuli dengan ucapan alu-aluan Pengarah Urusan Syarikat JO, Pengiran Mohd Noor Joffren bin Pengiran Omar.
Beliau antara lain menekankan kepada pelajar-pelajar Kohort ke-6 Latihan ISQ Pengimpal dan Scaffolder berkenaan supaya akan memanfaatkan kemahiran yang telah diperolehi bagi keperluan mencari peluang pekerjaan dalam industri minyak dan gas.
Acara diakhiri dengan sesi bergambar ramai para pelajar dan tenaga pengajar serta pegawai kanan syarikat tersebut.