Pelajar sekolah di Los Angeles wajib terima vaksin COVID-19

LOS ANGELES – Daerah Sekolah Bersatu Los Angeles (LAUSD), sistem persekolahan kedua terbesar di Amerika Syarikat (AS), Khamis lalu mengumumkan semua pelajar berumur 12 tahun ke atas yang layak diwajibkan mengambil vaksin COVID- 19 sepenuhnya.

Menurut syarat yang diluluskan oleh lembaga pendidikan sekolah, vaksinasi sepenuhnya bagi kumpulan ini harus diselesaikan sehingga 10 Januari 2022, kecuali mereka mempunyai pengecualian perubatan atau lainnya.

Sekolah tersebut merupakan yang terbesar di negara itu yang mewajibkan vaksinasi COVID-19 ke atas semua pelajar yang layak. LAUSD yang mempunyai lebih daripada 640,000 pelajar tadika hingga gred 12 di lebih 1,000 buah sekolah. Daerah ini meliputi 710 batu persegi dan merangkumi bandar Los Angeles serta sebahagian daripada 31 perbandaran yang lebih kecil ditambah beberapa bahagian Los Angeles County yang tidak diperbadankan.

LAUSD menyatakan langkah terbaharu akan memberikan lapisan keselamatan di sekolah dan syarat itu akan membantu mengurangkan penularan dan memastikan pelajar dapat tetap berada di kampus dalam persekitaran yang paling selamat.

“Fakta sains itu jelas, vaksinasi adalah bahagian penting dari perlindungan terhadap COVID-19,” kata Penguasa Interim LAUSD, Megan K. Reilly dalam satu kenyataan.

“Keputusan ini memantapkan komitmen kami untuk memastikan keselamatan pelajar, keluarga, dan kakitangan kami,” kata Presiden Lembaga sekolah, Kelly Gonez, sambil menyatakan vaksin adalah satu-satunya cara terbaik untuk melindungi pelajar dan sekolah dari COVID-19.

Langkah-langkah keselamatan yang diambil oleh LAUSD juga termasuk pemeriksaan kesihatan setiap hari untuk semua yang pergi ke kampus, memakai pelitup muka, ujian COVID-19 yang komprehensif, pengesanan kontak dan pengasingan kes, pensanitasian tangan, pembersihan sekolah dan pengudaraan yang dinaiktaraf.

Pegawai sekolah berkata LAUSD komited untuk memberikan akses kepada vaksinasi untuk semua pelajar dan kakitangan yang layak. Pasukan vaksinasi bergerak mula mengunjungi sekolah-sekolah di LAUSD sejak 30 Ogos lalu.

Daerah Los Angeles mempunyai penduduk paling ramai di California dan negara itu. Golden State mengumumkan bulan lalu akan melaksanakan langkah pertama di negara itu untuk mewajibkan semua guru dan kakitangan sekolah mendapat vaksin ketika sekolah dibuka semula selepas cuti musim panas di tengah-tengah penularan varian Delta. Kira-kira 3,000 pelajar LAUSD dilaporkan dikuarantin setelah diuji positif COVID-19 pada minggu pertama sekolah mereka. – Xinhua

Seorang pelajar bersedia untuk mendapatkan suntikan vaksin. – Xinhua
Pelajar berbaris untuk mendapatkan makanan ringan di Sekolah Rendah Montrara Ave di Los Angeles, California, Amerika Syarikat. – Xinhua
Kelihatan seorang pelajar Sekolah Rendah Montrara Ave mendapatkan ujian COVID-19 di Los Angeles, California. – Xinhua