Pelajar Senegal dianiaya

DAKAR, 11 JUN – Kanak-kanak yang belajar di sekolah Quran Senegal berdepan penganiayaan yang ‘membimbangkan,’ termasuk kes rogol, pengabaian dan pengurungan, kata Pemerhati Hak Asasi Manusia hari ini, justeru menyeru kerajaan supaya memperbaharui institusi agama yang tidak terkawal itu.

Di negara Islam di mana pemimpin agama mempunyai pengaruh sosial dan politik, kanak-kanak miskin telah lama diamanahkan untuk mendapatkan pendidikan di sekolah Quran, digelar daara. Dalam laporannya mengenai pelajar muda yang dikenali ‘talibes’, kumpulan hak di New York dan PPDH, satu gabungan kumpulan Senegal, menyeru Presiden Macky Sall supaya melancarkan langkah besar-besaran untuk melindungi berpuluh-puluh ribu kanak-kanak yang tinggal di daara yang tidak terkawal.

Laporan mendokumenkan kematian 16 talibes dari tahun 2017-2018 akibat pukulan, pengabaian atau ancaman, kes lain seperti perkosaan, penderaan seksual serta dipaksa mengemis di jalan raya. Beberapa kanak-kanak dilaporkan dikurung oleh guru mereka dalam bilik seperti sel selama beberapa minggu atau bulan pada satu masa. Yang lainnya yang ditangkap cuba melarikan diri berkata mereka dirantai untuk menghalang mereka daripada melepaskan diri sekali lagi.

“Kanak-kanak Talibe membanjiri jalan, menderita penganiayaan teruk, dan mati akibat penderaan dan pengabaian,” kata Corinne Dufka, pengarah bersekutu Afrika di Pemerhati Hak Asasi Manusia, dalam satu kenyataan.

Datang dari keluarga luar bandar yang miskin, talibes dihantar ke Dakar dan bandar Senegal lain untuk menghafaz Quran, tetapi sering terdedah kepada penderaan dan tidak menerima pendidikan. – AFP