TOKYO, 12 JAN – Polis Jepun telah menangkap seorang pelajar yang disyaki melakukan serangan dengan tukul di sebuah universiti di Tokyo, yang menurut media tempatan menyebabkan beberapa orang cedera.
Pelajar perempuan berusia 22 tahun dari Korea Selatan yang mengambil jurusan sosiologi itu ditahan di tempat kejadian kerana disyaki menyerang seorang pelajar lelaki semasa kelas di kampus Tama, Universiti Hosei di pinggir barat Tokyo pada Jumaat, menyebabkan kecederaan ringan kepada mangsa, menurut polis metropolitan Tokyo.
Media Jepun melaporkan tujuh lagi pelajar mengalami kecederaan ringan apabila suspek didakwa menyerang mereka secara berturut-turut. Tidak jelas sama ada tindakan suspek itu dirancang atau tidak.
Agen berita Kyodo melaporkan suspek memberitahu pihak penyiasat bahawa dia berasa ‘tertekan’ selepas dipinggirkan dan dibuli oleh rakan sekelasnya, lalu menggunakan
tukul yang ditemui di kampus untuk menyerang.
Kira-kira 150 pelajar berada dalam kelas tersebut pada hari kejadian dan seorang saksi memberitahu Kyodo bahawa penyerang kelihatan mengayunkan tukul dengan cara yang tidak menentu, mengenai mereka yang duduk di barisan belakang dan semua orang melarikan diri.
Seorang lagi saksi menyatakan bahawa ekspresi wajah suspek kelihatan selamba dan dia tidak nampak seperti menyasarkan individu tertentu.
Polis menyatakan bahawa siasatan masih dijalankan, tetapi tidak memberikan butiran lanjut. – AP
