Pelajar SM PJN PHAB lawat IBTE JBC

Oleh Daniel Lim

BELAIT, 3 MAC – Rombongan seramai 38 orang pelajar Tahun 11 bersama dua guru pengiring dari Sekolah Menengah Pengiran Jaya Negara Pengiran Haji Abu Bakar (SM PJN PHAB), hari ini, telah membuat lawatan pendidikan ke Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) Kampus Jefri Bolkiah (JBC).

Lawatan yang diketuai oleh guru pembimbing kerjaya, Dayang Anis Bazilah itu bertujuan untuk memberi pendedahan awal kepada para pelajar yang menyatakan hasrat untuk melanjutkan pengajian mereka dengan harapan mengembangkan kemahiran mereka di kampus berkenaan.

Selain itu, lawatan juga merupakan peluang bagi para pelajar berinteraksi dengan tenaga pengajar dan pelajar IBTE mengenai pembelajaran dan syarat kemasukan, terutamanya yang berkaitan dengan berbagai-bagai program yang ditawarkan di kampus tersebut.

Ketibaan rombongan di kampus berkenaan telah dialu-alukan oleh Pengurus Akademik IBTE JBC, Dayang Rosmah binti Salman serta pemimpin-pemimpin program.

Susulan ucapan alu-aluan daripada Dayang Rosmah serta pengenalan ringkas mengenai kampus dan program-program yang ditawarkan, para pelajar berpeluang meninjau kampus tersebut.

Semasa tinjauan itu, para pelajar dan guru pengiring melawat makmal-makmal dan bengkel seperti Makmal Instrumentation and Control Engineering (ICE), Loji Mini IBTE, dan makmal komputer dan ruang rangkaian Sekolah ICT untuk bertemu tenaga pengajar dan guru-guru bagi mengetahui lebih lanjut pengalaman pembelajaran.

Rombongan pelajar melihat secara langsung pelbagai uji kaji yang dijalankan oleh pelajar-pelajar di Makmal ICE.