Oleh Siti Nur Wasimah S.
Gambar ihsan Sekolah Menengah Rimba
BANDAR SERI BEGAWAN, 24 Jan – Seramai 24 orang pelajar Tahun 7 Sekolah Menengah (SM) Rimba telah menyertai Program Fit4Good yang telah berlangsung di perpustakaan sekolah itu.
Pengetua SM Rimba, Haji Malai Shah Eran bin Syed Haji Yussof, semasa menyampaikan ucapannya di majlis pembukaan rasmi program itu, semalam, menyatakan bahawa menurut statistik Kementerian Kesihatan, kadar obesiti dalam kalangan pelajar-pelajar sekolah menunjukkan peningkatan.
Perkara ini, jelasnya, memanglah membimbangkan kerana masalah obesiti ini bukan sahaja memberikan impak yang negatif terhadap kesihatan para pelajar secara amnya, malahan ia juga memberikan impak terhadap kurangnya produktiviti dan prestasi akademik para pelajar.
“Alhamdulillah pada tahun ini, Sekolah Menengah Rimba merupakan antara enam buah sekolah mengikuti Program Fit4Good dengan sokongan daripada Pusat Promosi Kesihatan, Kementerian Kesihatan yang bertujuan untuk meningkatkan kesedaran pelajar mengenai cara hidup sihat, mengamalkan pemakanan sihat serta dapat mengawal peningkatan masalah obesiti.”


Menurutnya lagi, pada tahun ini juga, program berkenaan turut dilaratkan dengan menitikberatkan penyediaan makanan dan minuman kantin sekolah iaitu dengan memastikan kantin sekolah akan mengikut garis pandu sistem lampu isyarat penjualan makanan dan minuman yang telah ditetapkan.
Pelajar yang terdiri daripada 14 orang pelajar lelaki dan 10 orang pelajar perempuan yang menyertai program ini akan mengikuti perisian-perisian program yang merangkumi sesi ceramah berkaitan dengan fizikal, pemakanan dan psikologi serta aktiviti-aktiviti senaman dan fizikal selama enam bulan secara berjadual.
Haji Malai Shah Eran melahirkan harapan agar para pelajar-pelajar berkenaan akan dapat memanfaatkan ilmu dan pengalaman yang diperolehi sepanjang mengikuti program ini dan bersungguh-sungguh dalam mencapai tahap kesihatan yang memuaskan.