Pelajar SMK Chukai juara pertandingan Do Your :Bit Challenge

KEMAMAN – Tiga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Chukai di sini dinobatkan sebagai juara pertandingan digital ‘Do Your :Bit Challenge’ bagi Wilayah Asia-Pasifik menerusi rekaan alat analisis peratusan kandungan oksigen di dalam hutan bagi memantau aktiviti pembalakan.

Pengetua SMK Chukai Tengku Shahrir Tengku Dahlan berkata kejayaan Ahmad Nasharuddin Anua, Mifzal Haziq Mazelan dan Muhammad Amiruddin Amar yang diumumkan baru-baru ini, amat membanggakan kerana mereka berjaya mengenepikan lebih 400 penyertaan daripada negara-negara Asia Pasifik yang lain.

Beliau berkata ketiga-tiga pelajar tingkatan empat itu menang dalam kategori 15 hingga 18 tahun, dan beliau difahamkan ini adalah kali pertama Malaysia dinobatkan juara pertandingan berkenaan.

“Harapan saya agar kemenangan ini akan memberi suntikan motivasi kepada pelajar yang lain, agar sentiasa berusaha melakukan yang terbaik supaya memberi kebaikan kepada negara dan masyarakat,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Pertandingan anjuran Yayasan Pendidikan Microbit yang diadakan secara dalam talian itu bertujuan menggalakkan golongan muda mencipta inovasi baharu menggunakan microbit iaitu komputer kecil dengan elemen pengaturcaraan dan pengekodan.

Sementara itu Ahmad Nasharuddin berkata kumpulannya, Erfinder, mencipta alat itu bagi mengesan kadar penurunan oksigen ketika aktiviti pembalakan dijalankan.

Beliau berkata terdapat dua alat iaitu satu diletakkan di dalam hutan dan satu lagi diletakkan di bilik kawalan yang saling berhubung untuk menghantar bacaan oksigen secara berkala, sekali gus memudahkan pemantauan.

“Alat ini lebih murah, mudah serta praktikal berbanding penggunaan imej satelit. Inovasi kami ini adalah satu mekanisme baharu bagi memastikan ke-seimbangan ekosistem serta menjamin kehidupan yang sejahtera kepada manusia dan alam sekitar.

“Rekaan ini diharap dapat membantu langkah pemantauan yang lebih berkesan untuk mengawal aktiviti pembalakan,” katanya yang sedia mempatenkan alat berkenaan dalam masa terdekat.

Menurutnya dalam membangunkan alat itu, mereka mendapat bimbingan daripada dua guru SMK Chukai iaitu Febing Ayu Marjohan dan Irfah Hafizah Ahmad, serta dibantu dua mentor dari Kolej Universiti TATI iaitu Prof Madya Dr Ruzlaini Ghoni serta Dr Khairudin Ali. – Bernama

Tiga pelajar SMK Chukai, Muhammad Amiruddin Amar (dua, kiri), Ahmad Nasharuddin Anua (tengah, hadapan) dan Mifzal Haziq Mazelan (dua, kanan) menunjukkan rekaan alat analisis peratus oksigen yang membawa tuah buat mereka apabila dinobatkan sebagai juara pertandingan ‘Do Your :Bit Challenge’ bagi Wilayah Asia-Pasifik baru-baru ini. – Bernama