Pelajar St John hadiri taklimat kenegaraan

Oleh Daniel Lim

KUALA BELAIT, 25 JUN – Seramai 57 pelajar Tahun 7 dari Sekolah St John telah menghadiri Program Taklimat Kenegaraan yang dianjurkan oleh Jabatan Penerangan menerusi cawangan Daerah Belait, baru-baru ini.

Ketibaan para pegawai dari jabatan tersebut yang diketuai oleh Ketua Jabatan Penerangan cawangan Daerah Belait, Pengiran Haji Ahmad Fadillah Akhbar bin Pengiran Haji Sellahuddin telah dialu-alukan oleh Pengetua St John, Dr Teh Keng Watt.

Program dimulakan dengan taklimat Raja Kita, Menghayati Bendera dan lagi Kebangsaan yang disampaikan oleh Pengiran Haji Ahmad Fadillah Akhbar yang menyentuh tentang sejarah raja Brunei, cara-cara menaikkan bendera negara serta sejarah lagu kebangsaan.

Semasa taklimat itu, beberapa siri video juga ditayangkan termasuk ‘Kibarkanlah dengan Megah Bendera Negara’, ‘Semarak Pengibaran Bendera Negara’ dan ‘Tatacara Menaikkan Bendera Negara. Para pelajar juga berpeluang menyertai kuiz-kuiz bagi menguji pengetahuan mereka dengan mereka yang berjaya menjawab dengan betul turut menerima hadiah yang disediakan oleh Jabatan Penerangan.

Antara pelajar yang menyertai taklimat kenegaraan di Sekolah St John.