Pelajar Syria teruskan pendidikan melalui siaran TV

DAMSYIK – Ketika kerajaan Syria menangguhkan persekolahan di tengah-tengah penularan wabak COVID-19, para pelajar meneruskan pendidikan mereka melalui televisyen di rumah selepas kerajaan telah mengambil alternatif menggunakan saluran pendidikan melalui televisyen untuk menyiarkan pendidikan kepada pelajar.

Saluran pendidikan biasanya disiarkan selama dua jam pada waktu pagi dan dua jam pada waktu malam berikutan krisis COVID-19.

Berikutan penutupan sekolah-sekolah kerana wabak, saluran ini telah diaktifkan secara penuh dengan siaran harian selama 12 jam untuk membantu para pelajar meneruskan pengajian mereka yang tertangguh.

Bagi kebanyakan orang, dengan penyelesaian ini, ia sangat berkesan melalui interaksi yang baik antara pelajar dan guru yang memberikan pelajaran melalui penyiaran.

Saluran ini kini merangkumi semua kurikulum dari sekolah rendah hingga sekolah menengah. Program dan pelajaran ini juga disiarkan di laman YouTube agar pelajar dapat menontonnya semula.

Gambar bertarikh 23 April 2020 menunjukkan beberapa orang guru sedang membuat pengajaran di studio bagi siaran televisyen pendidikan Syria di Damsyik, Syria. – Xinhua

Yazan Safarjalani, seorang pelajar berusia 15 tahun, memberitahu media bahawa belajar melalui televisyen dan dalam talian adalah cara yang baik untuk meneruskan pendidikan di rumah di tengah-tengah krisis COVID-19.

“Kami harus tinggal di rumah untuk belajar dan bergantung pada pelajaran pendidikan yang ditawarkan di TV dan internet.

“Kaedah ini adalah penyelesaian yang terbaik, walaupun tidak selengkap pendidikan di sekolah, tetapi merupakan alternatif yang baik untuk meneruskan pembelajaran mereka yang tertangguh,” katanya.

Adik perempuannya, Yara Safarjalani, seorang murid kelas 6, mengatakan bahawa belajar dari televisyen dan dalam talian adalah cara belajar yang baharu yang belum pernah mereka alami sebelumnya.

Mazen Abdul-Karim, seorang guru sekolah Inggeris, memberitahu media bahawa televisyen berperanan dalam menawarkan bahan pendidikan untuk para pelajar semasa penyebaran COVID-19.

Bagi pihaknya, Wael Shahin, pengurus saluran pendidikan, pengalamannya ‘sangat bagus’, sambil menambah bahawa semua program dan pelajaran dioptimumkan. – Xinhua