Pelajar teknikal dan akademik diasingkan seawal tingkatan satu

SIBU, 22 Jan – Kerajaan Sarawak mencadangkan dasar pengasingan pelajar teknikal dan akademik dibuat seawal di tingkatan satu untuk menentukan hala tuju masa depan mereka.

Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Promosi Pendidikan Teknikal) Datuk Len Talif Salleh berkata kerajaan negeri akan mencadangkan perkara itu kepada kerajaan persekutuan.

“Pelaksanaan dasar itu harus konsisten kerana ia memerlukan masa untuk berkesan dan sebarang perubahan tidak boleh dibuat pada pertengahan pelaksanaan dasar berkenaan,” katanya kepadapemberita pada acara Malam Citra warna dan Anugerah Persatuan Melanau Sibu di sini, malam tadi.

Sehubungan itu, katanya program tertentu perlu diadakan di peringkat sekolah rendah lagi bagi menyemai minat dalam kalangan pelajar dalam bidang vokasional dan teknikal selain sains dan matematik.

Beliau berkata, semakin ramai dalam kalangan ibu bapa dan pelajar di negeriini yang menyedari kepentingan dan peluang kerja dalam bidang teknikal dan vokasional.

Len Talif berkata, sejak 2011 hingga sekarang peratusan pelajar melanjutkan pendidikan dalam bidang teknikal dan vokasional di Sarawak sudah mencapai tahap 67 peratus. – Bernama