Pelajar tersilap naiki kereta dibunuh

COLUMBIA, 21 JULAI – Seorang lelaki Carolina Selatan dituduh membunuh wanita yang tersilap menaiki kereta lelaki itu sebagai kereta Uber dan menahan wanita itu dalam kenderaan beberapa jam sebelum mayatnya, dipenuhi luka tikaman, dibuang berhampiran rumah keluarga wanita itu, kata pendakwa di mahkamah semalam.

Nathaniel Rowland sedang dibicarakan atas penculikan dan pembunuhan Samantha Josephson, 21 tahun. Pelajar Universiti Carolina Selatan dari Robbinsville, New Jersey, hilang dari daerah hiburan Five Points, Columbia pada satu malam pada Mac 2019.

Dalam hujah pembukaan di Pusat Kehakiman Richland di Columbia, pendakwa melihat bukti-bukti dan keterangan yang dikatakan membabitkan Rowland. Ia termasuk gambar kamera Josephson memasuki kereta Rowland serta seorang saksi yang didakwa berkata melihat Rowland membersihkan pisau yang digunakannya untuk menikam Josephson berkali-kali.

Peguam Byron Gipson berkata kamera di daerah hiburan merakam Rowland mengelilingi blok bangunan beberapa kali dalam kereta Chevrolet hitam sebelum mendekati Josephson, yang sedang menunggu sendirian. Josephson menaiki kereta, dan ia adalah kali terakhir dia dilihat hidup-hidup, kata pendakwa.

“Ketika dia berdiri di sana menunggu kereta Uber, Rowland telah pun mengintainya untuk beberapa ketika,” kata Gipson. – AP

Defendan Nathaniel Rowland bercakap dengan peguam, Alicia Goode, semasa perbicaraan di Mahkamah Richland di Columbia, kelmarin. – AP