Pelajar UBD belajar buat sabun

BANDAR SERI BEGAWAN, 2 MAC – Seramai 20 orang pelajar tahun tiga Universiti Brunei Darussalam (UBD) telah mengadakan satu lawatan sambil belajar membuat sabun madu kelulut propolis di rumah kediaman Haji Abidin bin Haji Tengah, pengusaha madu kelulut dan pembuat sabun madu kelulut propolis, di Rancangan Perumahan Negara Kampung Rimba.

Di antara tujuan lawatan tersebut adalah mempelajari proses asas pembuatan sabun asli, untuk mengetahui khasiat madu dan memberi sokongan serta mempromosikan produk keluaran tempatan. Turut hadir mengikuti lawatan tersebut ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Dayang Khairunnisa binti Haji Ash’ari selaku penyelia program jangkauan komuniti.

Semasa aktiviti, para mahasiswa/i diajar tentang langkah-langkah membuat sabun madu kelulut dengan menggunakan bahan-bahan semula jadi iaitu pro-polis, madu kelulut, gluten sayuran dan minyak kelapa dara. Di antara faedah sabun madu kelulut propolis yang dikongsikan oleh Haji Abidin adalah ianya sesuai untuk digunakan bagi mereka yang mempunyai penyakit ekzema ataupun kulit yang sensitif, merawat jerawat atau parut jerawat, tumit retak dan sebagainya.

Di samping itu, para pelajar juga melawat sarang le-bah kelulut di mana mereka berpeluang mencuba tiga jenis madu iaitu Itama, Tuma Muda dan Tuma Matang. Haji Abidin menternak lebih kurang 100 sarang lebah di sekitar kawasan rumahnya dan menjemput para pelajar yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut tentang proses penternakan madu dan pembuatan sabun.

Menurut salah seorang peserta, Dayang Noor Ismah Azeedah binti Haji Ishak, “lawatan sebegini adalah sangat digalakkan dan ianya merupakan pengalaman yang sangat menarik kerana saya berpeluang untuk mencuba madu kelulut asli secara langsung daripada sarang madu kelulut. Madu adalah gula asli yang mampu menjamin kesihatan tubuh badan.”

Lawatan ini diadakan sebagai salah satu aktiviti para pelajar yang menjalankan Program Jangkauan Komuniti (Community Outreach Programme) di bawah Green Brunei dan ahli Majlis Mesyuarat Negara.

Pelajar UBD belajar buat sabun