Pelajar UBD lawat Smarter Brunei

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 OGOS – Seramai 12 orang pelajar Universiti Brunei Darussalam (UBD) telah mengadakan lawatan ke Pusat EDGE SMARTER Brunei, baru-baru ini, sebagai sebahagian daripada program latihan mereka bagi Tahun Penemuan bersama SCOT, Pasukan Outreach Belia Majlis Mesyuarat Negara dan Green Brunei.

Hadir pada acara berkenaan ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Dayang Khairunnisa binti Haji Ash’ari yang juga pengasas bersama dan pengarah Penglibatan Masyarakat Green Brunei.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif SMARTER Brunei, Sharifah Adila Surya binti Malai Haji Abdullah dalam ucapannya berkata, orang awam kerap mempunyai tanggapan salah mengenai individu dan kanak-kanak autisme, jadi SMARTER Brunei cuba untuk menghapuskan tanggapan itu dengan membantu orang awam berinteraksi dengan individu-individu berkenaan.

Beliau turut menekankan mengenai penggunaan istilah orang kelainan upaya daripada merujuk individu berkenaan sebagai berkeperluan khas. Beliau menjelaskan bahawa apa yang individu-individu berkenaan perlukan adalah hak asasi asas seperti pendidikan serta pekerjaan dan bukannya keperluan khas.

Kunjungan berkenaan diikuti dengan kempen kebersihan manakala itu, pada sesi petang, acara diisi dengan aktiviti menyeronokkan yang membantu kanak-kanak berkenaan menjadi aktif dan kreatif.

Menurut kenyataan yang diberikan, acara berkenaan berobjektif untuk meningkatkan kreativiti para peserta dan untuk menyediakan persekitaran yang bersih dan selamat bagi kanak-kanak berkenaan.

Salah satu tujuan acara itu adalah untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan orang awam mengenai kesejahteraan kanak-kanak kelainan upaya.

Acara berkenaan disokong oleh Persekutuan Wusyu Brunei Darussalam dan Green Brunei.

Sebahagian pelajar UBD bergambar bersama kanak-kanak kelainan upaya semasa lawatan mereka ke SMARTER Brunei. – Gambar-gambar serahan pelajar UBD.
Salah satu aktiviti yang dijalankan bagi membantu kanak-kanak kelainan upaya menjadi lebih kreatif.