Pelajar UNISSA cipta produk kecantikan, kesihatan halal

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 OGOS – Sekumpulan pelajar Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) baru-baru ini mencipta produk halal merangkumi produk kecantikan dan kesihatan yang mudah dibuat di rumah.

Para pelajar Sarjana Sains Halal ini mendapat inspirasi daripada pensyarah mereka, Dr Zeiad Amjad Aghwan untuk menghasilkan produk skrub bibir dan gula-gula daripada madu yang dinamakan Bee-Sai.

Menurut kenyataan yang diterima di sini, penghasilan produk itu bertujuan mencari rawatan alternatif kecantikan dan kesihatan yang halal dan selamat digunakan, serta menjadi alternatif bagi produk-produk serupa dari luar negara.

Produk juga dibuat dengan mengambil pendekatan daripada apa yang dipelajari mahasiswa terbabit selama dua semester pengajian, menggabungkan halal dan thayyib (baik) yang selari dengan ajaran dalam Al-Quran, terutamanya penggunaan madu asli yang selamat dan organik serta mempunyai kebaikan tersendiri.

Pelajar-pelajar UNISSA bergambar ramai bersama Dr Zeiad Amjad Aghwan sambil menunjukkan produk halal yang dihasilkan. – Gambar serahan UNISSA