Oleh Sim Y. H.
Gambar serahan UNISSA
BANDAR SERI BEGAWAN, 16 JAN – Mahasiswa dan mahasiswi Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) telah memulakan sesi kuliah mereka secara hibrid dengan mengutamakan kuliah secara fizikal di kedua-dua buah kampus iaitu di kampus Gadong dan kampus Sinaut, Tutong.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh UNISSA, di sini, sesi kuliah secara hibrid itu adalah dalam usaha untuk meningkatkan kualiti dan kemajuan pembelajaran para mahasiswa dan mahasiswi de-ngan keutamaan kepada kuliah secara fizikal serta pada masa yang sama, meneruskan sesi pengajaran dan pembelajaran secara dalam talian mengikut kesesuaian modul pengajaran yang ditawarkan.
Kenyataan menyatakan bahawa bagi kampus Sinaut yang menempatkan Fakulti Pertanian dan Pusat Penyelidikan Halalan Thayyiban, seramai 372 orang mahasiswa dan mahasiswi telah pun memulakan kuliah mereka di kampus berkenaan.
Bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan para mahasiswa dan mahasiswi serta seluruh warga UNISSA sentiasa terjaga, UNISSA juga melaksanakan prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan.
Kenyataan menekankan bahawa hanya mahasiswa dan mahasiswi yang sudah melengkapkan dua dos vaksin sahaja dibenarkan memasuki kampus dan seterusnya mengikuti pengajian. Mereka juga perlu menjalankan ujian pantas antigen (ART) sekali dalam seminggu dengan keputusan negatif. Selain itu, semua kakitangan serta mahasiswa dan mahasiswi juga dikehendaki untuk memakai pelitup muka di samping mengimbas kod QR BruHealth serta menjalani pemeriksaan suhu badan ketika memasuki kampus di setiap pintu-pintu masuk yang telah ditetapkan.
Dalam usaha membantu pihak Kementerian Kesihatan dalam menangani penularan wabak COVID-19, setiap warga UNISSA sentiasa dinasihatkan untuk memastikan serta mengamalkan tanggungjawab sosial seperti melakukan penjarakan fizikal di samping sentiasa menjaga kebersihan diri supaya kesejahteraan serta keselamatan seluruh warga UNISSA terjamin.