BANDAR SERI BEGAWAN, 7 April – Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), baru-baru ini telah menyertai Ihtifal USIM-IPT ASEAN dan ASEAN Young Enterpreneur yang diadakan di Malaysia.
Dalam Ihtifal USIM-IPT ASEAN yang diadakan di Universiti Sains Islam Malaysia, UNISSA telah menghantar beberapa wakil bagi mengikuti Pertandingan Debat Bahasa Arab, Pidato Dwi-Bahasa dan Tilawah Al-Quran, di mana program yang bertemakan ‘Wasatiyyah Asas Transformasi Belia’ mengumpulkan sekitar 700 mahasiswa dan mahasiswi institusi pengajian tinggi dari Negara Brunei Darussalam, Indonesia, Malaysia, Singapura dan Thailand.
Menurut kenyataan UNISSA, pasukan debat Bahasa Arab UNISSA menunjukkan peningkatan prestasi berbanding penyertaan sebelumnya pada tahun 2015. Daripada lima perlawanan pusingan, seorang peserta wakil UNISSA telah berjaya meraih ‘Best Speaker’ sebanyak dua kali. Juara Keseluruhan bagi Ihtifal USIM-IPT ASEAN 2017 pula dimenangi oleh pasukan tuan rumah.
Sementara itu, pada acara The ASEAN Young Enterpreneur Challenge 2017 yang diadakan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), UNISSA telah menghantar satu pasukan yang terdiri daripada dua mahasiswa dari Fakulti Ekonomi dan Kewangan Islam.

Menerusi program selama 10 hari ini, wakil UNISSA mengikuti sesi pembinaan kemahiran yang intensif melalui aktiviti-aktiviti seperti bengkel keusahawanan, bicara keusahawanan, kem pemasaran dan sesi perkongsian bersama perusahaan-perusahaan di Johor dan Negeri Sembilan.
Program dikendalikan oleh Air Asia dan juga Pusat Pembangunan Keusahawanan UKM itu mempraktikkan kemahiran para peserta melalui aktiviti-aktiviti yang disediakan seperti pembentangan pelan perniagaan, menerbitkan video pemasaran produk dan melancarkan kempen pemasaran online.
Pemenang bagi ASEAN Young Enterpreneur Challenge 2017 akan diumumkan esok.