Pelajar UNISSA sampaikan wakaf

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 NOV – Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) melalui Fakulti Syariah dan Undang-undang, baru-baru ini, telah menganjurkan projek wakaf di mana pelajar-pelajar menghulurkan sumbangan kepada masyarakat pilihan mereka.

Dalam projek tersebut, empat kumpulan pelajar yang terdiri daripada pelajar Tahun 3 Program Sarjana Muda Undang-undang (LLB) dan Sarjana Undang-undang Syariah (BSL) menyumbangkan beberapa barangan keperluan sebagai wakaf.

Projek berkenaan mendapat sokongan daripada pensyarah Dekan Fakulti Syariah dan Undang-undang, Dr Hajah Mas Nooraini binti Haji Mohiddin.

Dua kumpulan pelajar berkenaan telah memilih untuk menyumbang kepada petugas barisan hadapan COVID-19 sebagai sokongan dan tanda terima kasih atas pengorbanan dan sumbangan mereka dalam menangani penularan COVID-19 di negara ini.

Antara sumbangan yang diberikan adalah 55 pelindung muka dan 20 helai sejadah untuk Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) khususnya Wad PICU, HDU 1, HDU 2 dan surau pelbagai wad.

Manakala itu, kumpulan pelajar yang lain menyumbangkan cerek elektronik dan gelombang mikro untuk pusat pengasingan di Rimba, Mahad Islam Brunei, Katok dan Home Quarantine
Individual (Deployment Centre) di Sungai Kebun.

Di samping menyampaikan wakaf kepada petugas barisan hadapan dan pesakit COVID-19, pelajar-pelajar berkenaan turut menyampaikan wakaf berupa mesin pencetak, kertas A4 dan beberapa kartrij dakwat isi semula kepada UNISSA dan pelajar terpilih di universiti berkenaan.

Pelajar UNISSA turut menyampaikan wakaf untuk pusat pengasingan di Mahad Islam Brunei. – Gambar serahan UNISSA