Pelajar universiti duduki ujian di lapangan

TASHKENT, 2 SEPT – Lebih daripada 100,000 orang pelajar di Uzbekistan mengambil peperiksaan universiti di lapangan hari ini, ketika pandemik koronavirus telah menyebabkan tahun akademik menjadi tidak menentu.

Di ibu kota Tashkent, pelajar-pelajar mengambil ujian ditaman botani, lapangan dan stadium bola sepak, dengan pengawasan pihak polis.

Pelajar-pelajar – satu kelompok yang lebih dari satu juta orang akan mengambil ujian bulan ini – memasuki terowong disinfeksi dan melakukan pemeriksaan suhu badan ketika para pegawai memberikan penutup mulut dan hidung serta sarung tangan.

Elvira Urayeva, pengarah pusat ujian negara, berkata bahawa pelajar-pelajar akan mengetahui keputusan ujian mereka pada hari berikutnya.

“Meja-meja akan dijarakkan dua meter, kami akan memantau semua norma kebersihan,” kata Urayeva memberitahu AFP ketika dia memerhatikan lebih 2,500 pelajar berada di dalam stadium bola sepak kelab FC Pakhtakor, sebuah kelab terkemuka negara tersebut.

Sesi akademik untuk pelajar tahun pertama universiti bermula pada Oktober dengan pegawai-pegawai setakat ini memberitahu mereka akan menghadiri kelas.

Bagi pelajar di peringkat tinggi, pembelajaran telah bermula secara dalam talian.

Oisha Akhmedova, seorang pelajar, berkata perintah sekatan telah dilonggarkan pada Mei dan Jun tetapi diperketat semula pada Julai selepas kes virus melonjak dan mengganggu persiapannya untuk ujian kerana dia tidak dapat menyambung pembelajaran bersama tenaga pengajar.

Uzbekistan, sebuah negara yang mempunyai penduduk seramai 33 juta orang, telah mencatatkan lebih 42,000 kes koronavirus dan 326 kematian. – AFP

Para pelajar universiti di Uzbekistan mengambil peperiksaan di kawasan lapang. – AFP